fbpx

Bot nelayan tidak diusahakan sendiri pemilik ditahan APMM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bot nelayan yang ditahan APMM di Kuala Kurau, Bagan Serai semalam.

BAGAN SERAI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melalui Zon Maritim Kuala Kurau menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas A di kedudukan 2.3 batu nautika barat muara Kuala Kurau kira-kira pukul 12.15 tengah hari semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd. Najhan Azman Hamid berkata, semasa rondaan rutin di perairan Kuala Kurau, pihaknya telah mengesan bot nelayan itu dalam keadaan mencurigakan dan ia dirapati untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan menemukan seramai dua nelayan tempatan termasuk tekong, masing-masing berumur 38 dan 57 tahun berada di atas bot terbabit.

“Pemeriksaan lanjut mendapati bot itu memiliki lesen yang sah namun pemilik asal tidak mengusahakannya sendiri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Najhan berkata, sebanyak 150 kilogram ikan campur turut ditemui semasa pemeriksaan dilakukan.

“Kesemua kru, bot, hasil ikan campur dan peralatan menangkap ikan ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu bot tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya,” katanya.

Sebarang aduan salah laku dan kecemasan yang berlaku di laut boleh dilaporkan kepada APMM di talian MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau (05-7279919) untuk maklum balas segera. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI