SHAH ALAM – Sebuah bilik simpanan kain langsir di bangunan sederet Wisma Jakel di Seksyen 7 di sini, terbakar tengah malam tadi.
Pengarah Bomba Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, seramai 43 anggota termasuk pegawai bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 12.40 tengah malam.
Katanya, operasi pemadaman itu melibatkan tujuh buah Balai Bomba dan Penyelamat iaitu Shah Alam, Kota Anggerik, Puchong, Damansara, Sungai Pinang, Petaling Jaya dan Kota Raja.
“Kebakaran melibatkan satu bilik simpanan kain langsir berkeluasan 30 x 40 kaki persegi di tingkat tiga bangunan tersebut.
“Kebakaran berjaya dikawal dari merebak pukul 1.45 lagi dan api berjaya dipadam kira-kira pukul 3.07 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan sepanjang kebakaran tersebut.
Ini merupakan kebakaran kedua selepas Wisma Jakel musnah 80 peratus pada 1 Januari lalu. -KOSMO!ONLINE