RANTAU PANJANG – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan telah mempersiapkan aspek keanggotaan dan logistik sebagai persediaan awal sekiranya berlaku banjir gelombang ketiga di negeri ini.
Pengarah APM Kelantan, Mohd. Adzhar Mujab berkata, pihaknya sudah menyediakan semula kesemua kelengkapan logistik APM yang digunakan dalam operasi menyelamat mangsa banjir beberapa minggu lalu.
Katanya, selain itu, seramai 1,300 anggota APM juga bersedia dalam operasi dan menyelamat mangsa banjir sekiranya banjir berlaku dalam tempoh terdekat.
“Anggota yang terlibat akan dipanggil segera sekiranya APM menerima notis amaran banjir akan berlaku di negeri ini.
“Pihak APM sentiasa dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan kerana angin Monsun Timur Laut masih belum tamat tempohnya lagi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Kerohanian anjuran Pertubuhan Memperkasa Ummah Malaysia di Masjid Kampung Lubok Gong di sini hari ini.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan bahawa angin kencang dijangka bertumpu di Pantai Timur Semenanjung pada 4 hingga 5 Januari ini yang berpotensi menghasilkan hujan berterusan.
Mengulas lanjut, Mohd. Adzhar berkata, orang ramai juga perlu peka dengan keadaan cuaca bagi menghadapi perubahan fasa Monsun Timur Laut pada bila-bila masa.
Katanya, penduduk juga dinasihatkan agar mengambil langkah berjaga-jaga dan bersedia untuk berpindah jika berlaku banjir. – KOSMO! ONLINE