fbpx

250 individu sertai konvoi RXZ tak lepas sambut tahun baharu di Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota JPJ mengeluarkan saman terhadap penunggang motosikal jenis Yamaha RXZ semasa mereka tiba di ICQS Tumpat dan Rantau Panjang semalam. FOTO IHSAN JPJ

KOTA BHARU – Hasrat seramai 250 individu yang menyertai konvoi motosikal jenis Yamaha RXZ untuk menyambut tahun baharu 2023 di Thailand tidak kesampaian apabila mereka ditahan dalam dua operasi berasingan di Tumpat dan Rantau Panjang dekat sini semalam.

Kesemua yang terlibat dalam konvoi itu berusia dalam lingkungan 21 hingga 25 tahun diberkas anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di dua lokasi tersebut kira-kira pukul 6 petang.

Pengarah JPJ Kelantan, Mohd. Misuari Abdullah berkata, kesemua mereka ditahan ketika melalui sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini iaitu Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Kubor di Tumpat dan ICQS Rantau Panjang.

Menurutnya, sebanyak 350 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, lesen kenderaan motor, perlindungan insurans dan ubah suai kenderaan tanpa kebenaran.

“Sebanyak 450 buah motosikal diperiksa manakala lapan buah motosikal disita mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kesemua yang ditahan mengaku bahawa mereka akan bergerak ke Thailand untuk sambutan tahun baharu. Operasi ini dijalankan selepas operasi yang dilakukan pada malam ambang tahun baharu 2023 di negeri ini pada malam Sabtu lalu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Mohd. Misuari, menerusi maklumat orang awam, pihaknya turut mengesan beberapa lelaki memunggah motosikal dengan menaiki perahu ke negara jiran semata-mata untuk menyambut tahun baharu.

Katanya, JPJ akan melakukan operasi berterusan dengan membuat sekatan jalan raya dan penyamaran bagi mengesan penunggang motosikal melibatkan golongan muda yang melanggar Akta Pengangkutan Jalan.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI