PETALING JAYA – Tahun 2023 menjanjikan tempoh mencabar buat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan kerana mereka bakal berdepan dengan isu berkaitan rantaian bekalan yang berlarutan, kekurangan tenaga mahir dan gangguan digital kepada operasi yang akan memberi impak kepada perniagaan.
Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), Datuk William Ng berkata, bagaimanapun, pihaknya melihat terdapat sedikit kelegaan dari segi rantaian bekalan, terutamanya dengan pembukaan semula sempadan China yang dijadualkan pada 8 Januari ini serta penyederhanaan bekalan terpendam akibat penutupan sempadan dan sektor ekonomi.
“Pun begitu, kami menjangkakan gangguan kepada rantai bekalan akan berterusan hingga penghujung 2023.
“Ini bermakna kos bahan mentah akan terus berada pada tahap agak tinggi berbanding sebelum ini.
“Selain itu, PKS juga akan menghadapi kekurangan tenaga kerja mahir bukan sahaja melibatkan buruh asing tetapi juga dalam kalangan tenaga kerja tempatan.
“Kedua-dua faktor ini, iaitu kos bahan mentah yang tinggi akibat gangguan bekalan dan kekurangan pekerja akan terus menyekat kebolehan PKS untuk kembali pulih ke tahap prapandemik pada 2019 atau berkemampuan untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka,” katanya ketika dihubungi semalam.
Pada masa sama, William menegaskan, usahawan PKS tidak seharusnya mudah berputus asa meskipun berdepan situasi sukar ketika ini yang disifatkannya sebagai satu fasa peralihan yang diharapkan beransur bertambah baik menjelang akhir tahun ini.
“Buat masa ini, penting untuk PKS melaksanakan pembaikan proses operasi, pendigitalan dan mengautomasikan perniagaan mereka bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja, seterusnya mengurangkan kos perniagaan,” ujar beliau. -KOSMO! ONLINE