BERPAKSIKAN kepada motto Berilmu Berbakti, Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) telah menganjurkan Program Pemerkasaan Sahsiah Pelajar dan Smart Learning.
Program berkenaan membabitkan tiga buah sekolah rendah di daerah Chenor, Pahang yang berlangsung pada 15 dan 16 Oktober lalu.
Penganjuran program tersebut merupakan salah satu inisiatif untuk memperkasakan penguasaan bahasa Inggeris serta kemahiran dalam bidang Sains kepada pelajar sekolah.
Program hasil kerjasama strategik antara PKPP, UPM dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Sekara itu melibatkan penyertaan 200 murid tahap dua daripada tiga buah sekolah.
Antara sekolah yang terlibat ialah SK Sekara, SK Bukit Lada dan SK Bukit Bota.
Pengarah PKPP, Prof. Madya Dr. Omrah Hassan @Hussin mengingatkan semua murid bahawa aktiviti permainan dan simulasi yang dilaksanakan boleh dijadikan platform untuk meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris.
Jelasnya, pada masa sama, ia membolehkan penciptaan inovasi dalam bidang sains.
“Program berpaksikan elemen pemindahan ilmu ini diadakan bagi membantu meningkatkan kualiti pendidikan serta kemahiran pelajar sekolah rendah. Ia berkonsepkan belajar sambil bermain.
“Pada masa sama, ia bertujuan menarik minat serta memberi kesedaran kepada murid tentang kepentingan bidang sains dan keperluan kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Inggeris,” katanya.
Program tersebut dikendalikan menerusi penglibatan barisan fasilitator yang terdiri daripada 21 orang ahli Kelab Pembangunan Insaniah, UPM bagi menzahirkan komitmen untuk berbakti kepada masyarakat.
Tambah Omrah, pelbagai aktiviti disusun atur sepanjang dua hari program berlangsung, antaranya adalah seperti let’s correct our grammar together, words cross dan create me.
“Berkonsepkan ‘belajar sambil bermain’, ternyata program ini berjaya menarik minat peserta, sekali gus memberi kesedaran kepada mereka tentang keperluan kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dan kepentingan bidang sains.
“Penguasaan bahasa Inggeris penting kerana ia menjadi bahasa perantaraan yang diguna pakai di seluruh dunia.
“Kemahiran berbahasa Inggeris harus bermula dari rumah, manakala di sekolah, guru-guru akan bertindak membantu mereka bertutur menggunakan struktur ayat yang betul,” ujarnya.
Sementara itu, salah seorang fasilitator, Mohamad Hazrisham Ab. Rahman berkata, komunikasi merupakan salah satu cabang kemahiran insaniah yang wajar dikuasai oleh mahasiswa dalam usaha mendepani cabaran alam pekerjaan.
“Melalui penglibatan sebagai fasilitator, barisan mahasiswa yang terlibat dapat memperkukuhkan kemahiran sedia ada melalui komunikasi bersama anggota masyarakat seperti pelajar sekolah, guru-guru, ibu bapa serta ahli komuniti yang lain.
“Program ini diharap dapat membentuk dan mengukuhkan kemahiran komunikasi antara mahasiswa dan komuniti,” katanya.
Seorang lagi fasilitator, Tengku Afiqah Tengku Azman menyifatkan, program tersebut berjaya mencetuskan kelainan dan keunikan dalam aspek pembelajaran di luar bilik darjah.
“Sesuai dengan konsep pembelajaran abad ke-21, beberapa elemen dapat diterapkan dalam diri pelajar iaitu kolaboratif, pembelajaran secara berkumpulan, komunikasi serta pemikiran kritis dan kreativiti.
“Hal ini pastinya dapat membantu meningkatkan minat pelajar terhadap bahasa Inggeris dan Sains,” katanya.