BANDAR RAYA MEXICO – Pihak berkuasa sebuah lapangan terbang di Mexico menemui empat tengkorak manusia di dalam sebuah bungkusan yang akan dihantar ke Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat lalu, lapor laman berita Wion News kelmarin.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengawal Kebangsaan (GN), pihak berkuasa menemui empat tengkorak yang dibalut dengan kerajang aluminium dan plastik di dalam kotak yang diperbuat daripada kadbod di Lapangan Terbang Queretaro Intercontinental di tengah Mexico.
GN menyatakan bahawa bungkusan itu dihantar dari negeri Michoacan yang merupakan salah satu wilayah paling ganas dalam negara itu, dan sepatutnya sampai ke sebuah alamat di Manning, negeri Carolina Selatan.
Pegawai GN dipanggil oleh pihak berkuasa lapangan terbang itu selepas mereka mengesan bentuk aneh dalam mesin imbasan X-ray apabila kotak kadbod itu diimbas.
GN bagaimanapun enggan mendedahkan sebarang butiran mengenai identiti atau usia tengkorak itu atau sebarang kemungkinan motif di sebalik penghantarannya.
Menurut GN, bungkusan itu melanggar undang-undang Mexico mengenai tatacara mayat harus dikendalikan, tidak kira bagaimana penghantar mendapatkannya (tengkorak) atau sama ada ia untuk tujuan kajian perubatan.
“Orang atau organisasi yang menghantar mayat perlu mendapatkan permit khas daripada pihak berkuasa kesihatan yang kompeten yang mana ia tidak diperoleh dalam kes ini,” kata GN. – Agensi