PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) akan meningkatkan kaedah pembendungan penularan jangkitan Covid-19 dalam negara serta kesiapsiagaan bagi berdepan dengan sebarang kemungkinan peningkatan kes akibat virus tersebut.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, beliau memberi perhatian serius terhadap kebimbangan rakyat berhubung kenaikan kes Covid-19 di China serta sekatan yang telah dibuat oleh beberapa negara lain terhadap pengembara dari negara tersebut.
“Perkara ini sememangnya merupakan keutamaan buat KKM ketika ini. Dengan pelanjutan Malaysia sebagai ‘Kawasan Tempatan Jangkitan’ sehingga Jun 2023, ia memberi ruang kepada KKM untuk mengambil sebarang tindakan segera apabila diperlukan.
“Ini termasuk mengubah dasar sedia ada terutamanya penjagaan kesihatan pengurusan pandemik Covid-19 di sempadan negara serta memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan kesihatan di mana-mana pintu masuk negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Dr. Zaliha, ia akan dilaksanakan jika perlu dan bukan sahaja kepada pengunjung atau pengembara domestik atau luar negara yang tiba dari China bahkan yang tiba dari semua negara di dunia.
“Berdasarkan maklumat dilaporkan China kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), varian dan subvarian di sana juga telah dikesan di Malaysia namun merujuk kepada maklumat sedia ada, vaksin Covid-19 berkesan bagi memberi perlindungan daripada mendapat gejala yang teruk.
“Selain itu, tidak lama lagi vaksin bivalen juga akan dibekalkan kepada Malaysia berikutan kelulusan pendaftaran bersyarat yang diberikan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah baru-baru ini,” ujar beliau.
Tambahnya, satu pengumuman akan dibuat selepas bekalan tersebut diterima bersama dengan kriteria kelayakan untuk mendapatkannya.
Mengulas lanjut, Dr. Zaliha berkata, orang ramai yang telah menerima dos penggalak pertama yang melebihi tempoh enam bulan digesa agar mendapatkan dos penggalak kedua serta tidak menunggu untuk mendapatkan vaksin bivalen.
“Ini kerana vaksin monovalen sedia ada adalah masih sangat berkesan untuk mengurangkan gejala serius dan kes kematian.
“Ketika ini hanya 49.8 peratus sahaja rakyat Malaysia yang telah mendapatkan vaksin dos penggalak pertama manakala hanya 1.9 peratus sahaja yang telah menggambil vaksin dos penggalak kedua dan KKM amat berharap peratusan ini terus meningkat,” katanya. – KOSMO! ONLINE