SHAH ALAM – Kenaikan tambang bas yang diuar-uarkan persatuan bas sekolah peringkat nasional yang menjadi isu hangat kebelakangan ini berkemungkinan melibatkan sekolah swasta dan jarak perjalanan yang jauh.
Pengerusi Persatuan Bas Sekolah Selangor, Putrajaya Dan Kuala Lumpur (PBSSPKL), Mohd. Haron Mohd.Sidik berkata, tambang mahal bagi murid atau pelajar sekolah swasta ekoran sikap ibu bapa yang mahu kerusi dan pendingin hawa tetap selain jumlah penumpang dalam 10 orang sahaja untuk satu van sekolah.
Katanya, pengusaha juga diminta memastikan mengambil dan menghantar anak-anak mereka mengikut masa yang ditetapkan.
“Tidak boleh beri alasan apa pun untuk perkhidmatan bas sekolah anak mereka. Jaraknya pula lebih dari 100 kilometer.
“Contohnya, anak mereka bersekolah di Meru Klang tetapi tinggal di Puchong. Tambangnya dikira termasuk minyak, tol dan jumlah penumpang yang terhad. Dari Puchong ke Meru dan Meru ke Puchong ialah RM750 sehingga RM1,000 seorang penumpang,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Dalam pada itu, Mohd. Harun memberitahu, tambang bas sekolah dibawah Kementerian Pendidikan (KPM) kebiasaannya antara RM85 hingga RM130 sahaja.
“Tambang ini masih boleh dibincangkan jika melibatkan melibatkan dua atau lebih anak. Kita semua perlu tahu, tambang bas sekolah tidak lagi dikawal oleh kerajaan. Tiada harga silling dan tambang mestilah ikut persetujuan ibubapa dan pengusaha sahaja,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan golongan ibu bapa tidak berpuas hati apabila terdapat pengusaha perkhidmatan bas sekolah menaikkan lagi kadar tambang sehingga mencecah RM300 sebulan pada tahun depan bermula 3 Januari ini.-KOSMO! ONLINE