JEDDAH – Hujan lebat, guruh dan petir melanda beberapa wilayah di Arab Saudi sepanjang Khamis dan Jumaat lalu, menyebabkan jalan-jalan di Jeddah banjir untuk kali kedua dalam tempoh beberapa minggu.
Menurut laman berita Middle East Eye, fenomena hujan lebat dijangka berlarutan dalam tempoh beberapa hari akan datang.
Rakaman yang dikongsi secara online memaparkan keadaan jalan raya yang sesak telah dinaiki air dengan banyak kereta berhati-hati untuk melaluinya. Video berlainan pula memaparkan beberapa kenderaan yang hampir ditenggelami air.
Pusat Meteorologi Kebangsaan (NCM) meningkatkan tahap amaran hujan di Jeddah lewat Khamis lalu dan mengekalkannya sehingga pagi Jumaat.
Hujan lebat turut memaksa universiti-universiti di Jeddah menangguhkan kelas selain penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz turut ditunda akibat ribut petir, angin dan hujan batu yang mengehadkan jarak penglihatan.
Daerah Basateen di Jeddah merekodkan taburan hujan sebanyak 54.2 milimeter (mm), manakala lapangan terbang mencatatkan 48 mm, demikian menurut NCM.
Penduduk kota suci Mekah dalam masa sama dinasihatkan oleh pihak berkuasa agar tidak meninggalkan rumah mereka atas sebab-sebab yang tidak penting ketika amaran itu dilaksanakan.
Pengguna media sosial menyiarkan rakaman hujan lebat di Masjidil Haram ketika jemaah mengelilingi Kaabah.
Amaran hujan turut dikeluarkan untuk bandar-bandar lain, dengan NCM menjangkakan paras hujan sederhana hingga lebat berterusan hingga Selasa ini di wilayah Mekah, Madinah, Riyadh, al-Qassim, al-Baha dan wilayah Timur. – Agensi