GEORGE TOWN – Beberapa jalan termasuk Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah atau lebih dikenali sebagai Jambatan Kedua akan ditutup secara berperingkat pada 8 Januari ini.
Penutupan sementara itu bagi memberi laluan kepada acara kayuhan berbasikal Penang Fellowship Ride sejauh 66 kilometer.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang, Soon Lip Chee berkata, jalan-jalan yang terlibat akan ditutup bermula 6.30 pagi hingga 1 tengah hari.
“Bagi Jambatan Pulau Pinang iaitu dari arah bahagian Pulau ke Seberang Perai sahaja waktu penutupan adalah dari pukul 6.30 pagi hingga pukul 9 pagi.
“Bagi Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dari arah Batu Kawan ke Batu Maung sahaja waktu penutupan adalah dari pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari. Bagi laluan lain yang terlibat juga akan ditutup sementara secara berperingkat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.- KOSMO! ONLINE