fbpx

Gadis Kampus: Aktiviti sukarelawan bentuk jati diri Natasha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NATASHA sangat aktif dalam kerja-kerja sukarelawan.

BERKHIDMAT tanpa mengharap balasan, itulah kata azimat dipegang oleh Siti Nor Natasha Che Mat Nasir, 22, yang tidak pernah jemu melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelawanan.

Dia yang merupakan mantan Eksekutif Kesukarelawan dan Khidmat Komuniti, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Universiti Malaysia Pahang (UMP) berkata, penglibatannya dalam kerja-kerja kesukarelawanan bermula sejak pengajian diploma.

Menurutnya, pada ketika itu, dia kerap terlibat secara sukarela dalam program-program di universiti terutama sewaktu menjadi ahli dan Timbalan Setiausaha Majlis Sukan Pelajar.

“Awalnya, saya menjadi sukarelawan dalam program hanya untuk mendapatkan pengalaman, namun lama-kelamaan ia menjadi terbiasa.

“Sejak itu, saya kerap menyertai pelbagai program lain sebagai urus setia secara sukarela dan ia berterusan sehingga ke pengajian peringkat ijazah sebagai MPP,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Tambah gadis berasal Kota Bharu, Kelantan itu, kegiatan sukarelawan yang disertainya menjadi lebih serius semasa menjawat jawatan MPP apabila dia turut mengendalikan program kebajikan dan bantuan bencana.

Dia yang mesra disapa Natasha berkata, berkhidmat sebagai sukarelawan banyak mendidik dirinya, selain membentuk peribadi dan kemahiran kendiri yang boleh diaplikasikan dalam kerjaya pada masa depan.

Katanya, selain dapat belajar tentang pengurusan program dan kepimpinan, dia turut dididik dengan erti kesabaran serta kerendahan hati terutama apabila berdepan dengan mereka ditimpa musibah.

“Setiap program yang disertai memberi pengalaman dan pendedahan berbeza. Ia banyak menyedarkan saya tentang kehidupan dan saling menghormati antara satu sama lain.

“Pada masa sama, ia mengajar saya untuk lebih ikhlas dalam berkhidmat, bersyukur dengan kehidupan kerana bukan semua orang bernasib baik dan dilimpahi kesenangan,” ujar anak keenam daripada tujuh beradik itu.

NATASHA (kiri) percaya setiap program kesukarelawanan yang disertai memberi pengalaman dan pendedahan berbeza.

Natasha turut memaklumkan, biarpun kerja sukarelawan adalah sesuatu yang murni, namun masih ada segelintir individu yang melihatnya sebagai perkara tidak mendatangkan keuntungan.

Katanya, pemikiran seumpama itu perlu dibuang oleh masyarakat kerana semua orang perlu ada sikap suka membantu dan ringan tangan, meskipun masih bergelar mahasiswa.

Meskipun kerja kesukarelawanan tidak memberi keuntungan, namun pengalaman yang ditimba lebih berharga daripada wang ringgit.

“Aktiviti sukarelawan sesuatu yang unik bagi seorang mahasiswa. Tidak rugi kita menabur bakti sebagai sukarelawan. Malah, ia menjadi tokok tambah dalam membentuk mahasiswa menjadi insan berguna dan berjaya suatu hari nanti.

“Banyak yang saya belajar selama terlibat dengan kerja sukarelawan.

“Selain membuka jiwa, hati dan nurani, ia juga dapat memantapkan minda seseorang untuk menjadi lebih matang dan bersedia dengan segala kemungkinan,” kongsinya.

Tambahnya lagi, mahasiswa yang ingin terlibat secara aktif dalam kerja-kerja sukarelawan perlu sentiasa bijak membahagi masa.

Jelasnya, mahasiswa juga tidak seharusnya ‘lari’ daripada fokus tugas utama di universiti iaitu pengajian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI