BRIGHTON – Arsenal terus mengukuhkan cengkaman selaku peneraju saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mencatat kemenangan 4-2 ke atas Brighton pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Amex awal pagi semalam.
The Gunners memastikan tiga mata menjadi milik mereka menerusi jaringan Bukayo Saka, Martin Odegaard, Eddie Nketiah dan Gabriel Martinelli, manakala gol tuan rumah dijaringkan Kaoru Mitoma dan Evan Ferguson.
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menganggap kemenangan itu sebagai keputusan yang sangat penting memandangkan mereka kini memiliki kelebihan tujuh mata ke atas pencabar terdekat, Manchester City.
“Satu kemenangan besar kepada pasukan bertemu pasukan yang sangat bagus. Semua pemain sedar bukan mudah untuk menang di sini, namun mereka berjaya lakukannya selepas bekerja keras sepanjang perlawanan.
“Walaupun dapat menjaringkan empat gol, tetapi kami berdepan kesukaran. Saya juga percaya kami perlu tampilkan aksi lebih baik dari segi pertahanan kerana melepaskan dua gol,” katanya.
Pada masa sama, pengendali dari Sepanyol itu mengakui lega apabila menyaksikan barisan serangan The Gunners mengekalkan aksi konsisten dengan melakukan jaringan dalam setiap perlawanan.
“Sudah tentu saya sangat gembira kerana mereka berjaya jalankan tugas. Mereka sentiasa menunjukkan aksi terbaik dalam latihan, jadi saya lega kerana ia dapat diterjemahkan semasa perlawanan,” ujar Arteta. – AGENSI