GOMBAK – Dua beradik meninggal dunia dalam kebakaran sebuah rumah teres di Jalan Dewan Simpang Tiga, Kampung Tanggut, di sini, awal pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian sekitar pukul 3.54 pagi.
Katanya, seramai 22 kekuatan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dan Rawang serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Gombak telah bergegas ke tempat kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian, pihak kami mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah teres terbakar 70 peratus dan pihak bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengawal kebakaran berkenaan.
“Sekitar pukul 4.43 pagi, kami menjumpai dua mangsa kanak-kanak, Nur Syaza Alfisya, 10, dan adik lelakinya, Muhammad Al Qayyum Muhammad Faizan yang berusia 7 tahun.
“Kedua-dua mangsa tidak dapat menyelamatkan diri kerana pintu grill berkunci serta ibu bapa mangsa keluar rumah ketika kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini. -KOSMO! ONLINE.