BEIJING – Seorang wanita di China mengaku bahawa dia keluar temu janji bersama 100 orang lelaki sepanjang tahun lalu dalam usaha untuk mencari cinta sejati, lapor portal berita Wolipop semalam.
Wanita hanya dikenali sebagai Baozhuzi itu berkata, dia mula menjalani kehidupan seperti itu selepas gagal dalam bercinta dan kerjaya.
Ini kerana ketika usianya mencecah 32 tahun, Baozhuzi kehilangan teman lelaki dan kerjayanya sekali gus, selepas menjalinkan hubungan cinta selama lapan tahun serta menerima gaji lumayan.
Selepas mengalami kekecewaan itu, Baozhuzi akhirnya membuat keputusan untuk mengenali lebih ramai lelaki bagi mencari seseorang yang betul-betul sesuai dengannya.
Lelaki-lelaki yang didampingi wanita itu berasal daripada pelbagai latar belakang termasuk pakar kewangan dan ahli muzik bahkan ada yang berbeza budaya.
Menurut wanita itu, dia juga pernah bertemu janji dengan tiga lelaki dalam satu hari.
Tambah Baozhuzi, tujuan dia bertindak demikian adalah untuk mencari pasangan yang boleh hidup bersama dan memiliki zuriat.
“Saya tidak mempunyai tekanan untuk berkahwin sebelum usia tertentu tetapi ingin memiliki anak sebelum usia 35 tahun,” katanya menerusi temu bual dengan program dokumentari di saluran NetEase News.
Usaha Baozhuzi akhirnya berbaloi kerana selepas selepas bertemu janji dengan 100 lelaki, dia telah menemui ‘kekasih sejati’ pada November tahun lalu. – Agensi