ALOR SETAR – Kerajaan diminta bertindak segera bagi memastikan bekalan barangan keperluan termasuk telur dan minyak masak peket mencukupi menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, tidak lama lagi.
Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, ketika ini wujud kebimbangan terhadap bekalan dua barangan tersebut yang masih dicari pengguna di negeri ini.
Katanya, walaupun bekalan telur di pasar raya besar dilihat sudah kembali pulih, namun bekalan di kedai runcit masih meruncing.
“Pada musim cuti sekolah kali ini kita dapat lihat permintaan telur yang tinggi tetapi masih belum mencukupi di negeri ini walaupun kerajaan sudah membawa masuk telur import.
“Selepas cuti sekolah berakhir, permintaan terhadap telur mungkin menurun permintaan sudah pasti meningkat menjelang Tahun Baharu Cina. Kita berharap agar masalah tersebut dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya selepas melakukan tinjauan harga dan bekalan barangan di Pasar Besar Alor Setar di sini hari ini.- KOSMO! ONLINE