SAUDARA PENGARANG,
TERLEBIH dahulu terima kasih diucapkan kepada kerajaan baharu pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim atas jaminan untuk meneruskan projek tebatan banjir Kelantan iaitu projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok dan PLSB Sungai Kelantan.
Hujan lebat selama lebih 24 jam mulai 17 Disember lalu menyebabkan bah besar di Kelantan pada musim tengkujuh tahun ini. Air bah yang agak jernih berbanding biasa menunjukkan tahap intensiti tinggi hujan di kawasan hilir.
Beberapa kawasan yang sebelum ini tidak dinaiki air turut banjir apatah lagi kawasan kerap bah di Tumpat, Pasir Mas dan Rantau Panjang yang menerima kesan daripada limpahan Sungai Golok.
Di beberapa kawasan misalnya di Kota Bharu, air surut terlalu perlahan. Perkara ini mungkin disebabkan ketiadaan sistem perparitan yang sempurna.
Di Tumpat pula air lambat surut disebabkan faktor limpahan air Sungai Golok. Banyak tempat lain mengalami situasi banjir termenung.
Timbalan Menteri Besar Kelantan ada mengulas isu perparitan yang menyebabkan bah kali ini agak luar biasa.
Saya tertarik dengan idea pemilik Facebook ‘MatGeo’ yang mencadangkan agar rangkaian sistem terusan dibina di Kelantan bagi mengalirkan limpahan air bah ke laut.
Terusan yang lurus mampu mengalirkan air dengan cepat berbanding sungai berliku dan semakin cetek.
Selain itu, kerajaan diharap membina lebih banyak kolam takungan dwifungsi sebagai tebatan banjir dan menyimpan air bersih.
Perbelanjaan membina sistem tebatan banjir mencecah bilion ringgit tetapi kos membaiki fasiliti yang rosak juga besar.
Itu belum lagi dikira kerugian penduduk yang seperti tiada jalan penyelesaiannya.
FIRDAUS
Keramat, Kuala Lumpur