fbpx

Luahan Pembaca: Azam baharu kurangkan berpolitik, fokus bantu rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEMUA pihak perlu memainkan peranan masing-masing supaya masalah termasuk kos sara hidup meningkat dapat ditangani secara baik pada tahun 2023.

SAUDARA PENGARANG,

TAHUN baharu 2023 sudah tiba. Sempena kedatangan tahun baharu satu azam baharu perlu dilakukan demi keamanan dan kemakmuran Malaysia.

Dalam banyak-banyak azam, azam untuk kurang berpolitik dan memberi fokus kepada usaha bantu rakyat harus diutamakan.

Usaha pemulihan ekonomi perlu dilakukan segera. Penularan Covid-19 sedang berlaku di serata dunia, oleh itu semua pihak perlu ambil segala langkah untuk memastikan Malaysia dapat dijaga dengan baik dan aman demi kesejahteraan rakyat.

Sejak akhir-akhir ini, banyak pihak yang memberi perhatian terhadap perkara berkaitan politik.

Walaupun isu politik sentiasa mendapat perhatian, namun paling penting ketika ini ialah usaha membantu rakyat menghadapi gelombang kos sara hidup yang meningkat serta mencari langkah dalam menghadapi suasana ekonomi semasa yang tidak menentu.

Sekiranya kita gagal ambil perhatian serius, rakyat akan hidup susah dan terdesak untuk melakukan perkara yang menyalahi undang-undang. Semua pihak perlu main peranan. Kerajaan perlu mengiatkan lagi usaha dengan memperkenalkan lebih banyak langkah proaktif dan kreatif ke arah usaha bagi meringankan beban rakyat.

Pemimpin setempat pula memberi perhatian kepada masalah di kawasan masing-masing. Pemimpin yang dipilih tidak boleh lepas tangan dalam soal menjaga rakyat.

Pada masa sama, pihak berkuasa tempatan pula menguatkuasakan peruntukan undang-undang bagi membendung mereka yang mahu ambil kesempatan atas masalah ekonomi dan kos sara hidup ini. Pihak berkaitan perlu memastikan harga barangan serta perkhidmatan sentiasa dalam kawalan.

Badan bukan kerajaan (NGO) juga memainkan peranan penting. Banyak usaha yang diambil dan ia harus dibuat secara berterusan. Individu juga boleh memainkan peranan dari segi hak dan tanggungjawab.

Sebagai pengguna, peka dengan informasi semasa dan lengkapkan diri dengan ilmu kepenggunaan. Amalan berjimat cermat serta bijak berbelanja harus diamalkan dalam suasana ekonomi mencabar masa kini.

Kerjasama semua pihak adalah penting bagi memastikan masalah yang dihadapi diharungi dengan baik. Semoga kedatangan 2023 membawa kemakmuran untuk semua.

Dr. Muzaffar Syah Mallow
Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI