BRISBANE, AUSTRALIA – Empat maut manakala tiga yang lain cedera parah apabila dua helikopter bertembung di udara di sebuah lokasi pelancongan popular di Australia hari ini, lapor stesen penyiaran CNN.
Nahas itu berlaku sekitar pukul 2 petang (waktu tempatan) berhampiran Main Beach di Gold Coast, selatan Brisbane.
“Dua helikopter tersebut bertembung dan terhempas di tebing pasir tidak jauh dari Sea World Resort,” kata pegawai polis bertugas untuk wilayah tenggara, Gary Worrell.
Menurutnya, agak sukar untuk perkhidmatan kecemasan mengakses ke kawasan tebing pasir itu yang terletak tidak jauh dari pantai.
Tambah Worrell, masih terlalu awal untuk mengenal pasti punca sebenar nahas itu. Siasatan awal mencadangkan bahawa sebuah helikopter berlepas manakala sebuah lagi sedang mendarat ketika pelanggaran berlaku.
Sementara itu, pegawai daripada Perkhidmatan Ambulans Queensland, Jayney Shearman berkata, 13 orang berada di dalam dua helikopter itu ketika ia bertembung.
Daripada jumlah itu, empat meninggal dunia, tiga mengalami kecederaan parah dan enam cedera ringan.
Semua mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital. – Agensi