RAMALLAH – Tahun 2022 akan diingati oleh rakyat Palestin sebagai tahun yang ‘menyakitkan’ dari segi skala kematian, peningkatan pencerobohan Rejim Zionis dan pemilihan kerajaan Israel ekstrem berhaluan kanan yang dilihat akan terus menafikan hak-hak mereka, lapor akhbar Arab News semalam.
Jurucakap kerajaan Palestin, Ibrahim Melhem berkata, 2022 adalah tahun terburuk dari segi jumlah rakyat Palestin yang dibunuh oleh tentera Israel.
Berdasarkan angka rasmi, 225 orang terbunuh di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza tahun lalu.
Rakyat Palestin turut mendakwa Pasukan Pertahanan Israel telah mengubah peraturan penglibatan mereka sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Ia menjadikan mereka boleh melepaskan tembakan pada bila-bila masa apabila berasa terancam, selain menembak untuk tujuan membunuh walaupun boleh sekadar mencederakan penyerang dengan mudah.
Kira-kira 60 peratus daripada angkatan tentera Israel kini beroperasi di Tebing Barat di mana 26 askar tempur dan 86 batalion simpanan dikerahkan.
“Terdapat seorang askar yang mengawal setiap peneroka,” kata seorang penduduk Palestin.
Dalam pada itu, rakyat Palestin mengalu-alukan undian oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang meminta Mahkamah Keadilan Antarabangsa menyatakan pendapat mengenai kesan undang-undang pendudukan Israel di wilayah-wilayah Palestin termasuk Baitulmuqaddis.
Pada perhimpunan itu, 87 negeri mengundi menyokong resolusi itu, 26 menentangnya dan 53 berkecuali. Keputusan itu dianggap secara meluas oleh rakyat sebagai kemenangan bagi diplomasi Palestin.
Jurucakap presiden Nabil Abu Rudeineh berkata, sudah tiba masanya untuk Israel bertanggungjawab atas jenayah yang sedang berlaku.
“Dunia mesti memikul tanggungjawabnya dan melaksanakan resolusi kesahihan antarabangsa dan semua orang mesti menghentikan layanan dua darjat (double standard),” katanya. – Agensi