PETALING JAYA – Selepas sembilan tahun terpisah, penyanyi Tom menzahirkan kesyukuran apabila akhirnya dapat melepas kerinduan kembali bertemu mata dan memeluk anak sulungnya yang dipanggil Adam.
Momen indah tersebut dikongsikan bekas peserta Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) itu dalam Instagramnya baru-baru ini.
Tom atau nama penuhnya Raja Farah Afzal Raja Ikram memberitahu pertemuan semula dengan anak sulung yang disapa Adam itu melengkapkan hidupnya selepas menanggung rindu selama sembilan tahun.
“Lengkap hidup saya, dapat semula jumpa anak sulung. Sudah besar pun tetap my baby, mama sayang Adam.
“Kering air mata sudah dulu, sekarang gembira sangat dapat anak saya semula. Walaupun baru dapat bertemu semula selepas dia besar, tidak mengapa.
“Mama tak mahu hilang Adam lagi,” katanya.
Berkongsi tindakannya menyembunyikan wajah anak sulung, pelantun lagu Redha itu enggan Adam terpalit dengan perkara negatif berkaitan dirinya.
“Kepada yang bertanya tentang wajah anak sulung saya, maaf kerana perlu menjaga privasi dia.
“Saya tak mahu orang ramai berjumpa dia dan bertanya macam-macam.
“Lagi pula nama saya pun tidaklah baik sangat, jadi enggan dia terpalit sama,” katanya lagi.
Ujarnya, dia sudah bertemu dengan Adam beberapa kali sejurus selepas GV9 tamat sekitar bulan lalu namun terpaksa merahsiakan hal tersebut daripada pengetahuan pihak media.
“Sebenarnya sudah beberapa saya bertemu dengan Adam tetapi tidak berkongsi kepada umum kerana ada beberapa wartawan ingin ikut bersama.
“Ikutkan, memang saya inginkan privasi sebab perlu menjaga hati dan keadaan keluarga bekas suami,” ujarnya.
Terdahulu, Tom menamatkan zaman gadisnya pada usia yang cukup muda iaitu 21 tahun dengan mengahwini seorang pemuda asal Johor, Mohd. Farhan, pada tahun 2007.
Mereka dikurniakan seorang cahaya mata bernama Megat Ariel Shakur Mohd. Farhan. Jodoh mereka tidak berkekalan apabila bercerai pada April 2010.
Pada 2012, Tom berkahwin kali kedua dengan pemuzik, Ahmad Khairul Mizan dan hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Putera Adler Iesta, 9, dan Putera Evans Ezra, 7.
Bagaimanapun, perkahwinan kedua terebut berakhir dengan perceraian.
Pada 2016, Tom kembali berumah tangga dan berkahwin dengan pemuzik, Eme Termizie Kaha namun berakhir dengan perpisahan.
Sementara, sekitar November lalu, namanya kembali menjadi bualan apabila mendedahkan menjalin hubungan cinta dengan penyanyi Fuad Rahman yang juga bekas bintang GV9. – KOSMO! ONLINE