LAIN padang, lain belalang, namun satu perihal yang serupa tentang dunia politik dan hiburan adalah apa sahaja tindakan pelakunya, pasti akan mengundang pesepsi dalam kalangan orang ramai.
Memang tidak boleh dinafikan bahawa dunia artis zaman sekarang ‘masyhur’ dengan kecaman. Tambah lagi apabila segala cercaan atau makian pada zaman serba canggih sekarang ini hanya semudah sentuhan ‘selamba’ di skrin telefon pintar.
Filem harus berdaya maju – Syamsul Yusof
SELEPAS filem arahannya, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan mencatat sejarah sebagai filem terlaris sepanjang zaman dengan kutipan panggung hampir mencecah RM100 juta, perjalanan karier Syamsul juga tidak lekang dengan kontroversi, sama ada soal kerja mahupun rumah tangganya.
Memasuki 2023, pengarah berusia 38 tahun itu mahu memandang semua perkara dari sudut positif meskipun sepak terajang dunia hiburan tidak dapat dielakkan.
“Tahun baharu semestinya azam juga baharu. Saya ingin lihat dunia perfileman tempatan terus berdaya maju setanding dengan negara-negara luar. Bukan hanya dari segi kutipan panggung tetapi juga dari sudut kualiti karya-karya yang dihasilkan.
“Semakin lama dalam industri, semakin saya sedar yang saya tak boleh puaskan hati semua orang. Saya doakan semua orang bahagia tahun 2023. Saya cuma berharap, orang di luar sana juga sedar bahawa anak seni sama seperti manusia lain yang tidak pernah lepas daripada melakukan kesilapan,” katanya.