BANGKOK – Seorang wanita Thailand yang hamil cuba berjalan kaki dari bandar Ubon Ratchathani ke Bangkok untuk memulakan hidup baharu selepas dikhianati oleh teman lelakinya, lapor laman berita Thaiger kelmarin.
Pegawai dari Balai Polis Warin Chamrap memberhentikan kenderaan mereka untuk membantu seorang wanita dari etnik Tai Yai yang menangis di tepi Lebuh Raya 2178 di Ubon Ratchathani.
Wanita berusia 33 tahun yang berasal dari daerah Mae Chan di wilayah Chiang Rai itu memberitahu polis bahawa dia sedang hamil empat bulan.
Dia cuba pergi ke bangkok yang terletak sejauh lebih 600 kilometer (km) dengan hanya berbekalkan 50 baht (RM6) sebelum ditemui polis selepas berjalan kaki sejauh 30 km.
Wanita itu menjelaskan bahwa dia telah berpindah ke Ubon Ratchathani untuk tinggal bersama teman lelakinya lima tahun lalu. Dia mempunyai pekerjaan yang baik iaitu menoreh getah di sebuah ladang dengan bayaran 450 baht (RM57) sehari.
Bagaimanapun, wanita itu terpaksa menanggung pendapatan teman lelaki dan keluarganya kerana hanya dia seorang yang bekerja. Dua minggu lalu, dia mendapati teman lelakinya menjalinkan hubungan sulit dengan seorang wanita.
Selepas bertengkar selama berminggu-minggu, dia tidak mampu menahan diri lalu memutuskan untuk berpindah ke Bangkok sebelum bayinya lahir dalam tempoh lima bulan.
Menurut peta Google, wanita itu perlu berjalan selama 117 jam untuk sampai ke Bangkok.
Selepas berjalan sejauh 30 kilometer, beberapa penduduk tempatan dari kampung Ban Khon Sai ternampak dia keletihan dan menghubungi Balai Polis Waring Chamrap.
Ketua kampung Ban Khon Sai kemudian membelikan wanita itu makanan dan air sementara menunggu ketibaan polis.
Polis kemudian menghubungi rakan wanita itu yang kemudiannya berjanji akan menjaganya setelah dia tiba di bandar tersebut.
Polis memberinya sedikit wang dan membawanya ke stesen kereta api. Dia menaiki kereta api pada pukul 7 malam (waktu tempatan) kelmarin untuk ke Bangkok. – Agensi