fbpx

Reputasi Kosmo! beri kepercayaan buat peserta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMENANG minggu ke-17 Liga Fantasi Kosmo! layak menerima hadiah mingguan daripada Kosmo!

SAINGAN Liga Fantasi Kosmo! untuk minggu ke-17 sudah berakhir dan keputusan menyaksikan lima pemenang berjaya dipilih selepas masing-masing meraih mata tertinggi dan layak menerima hadiah mingguan daripada pihak Kosmo!

Impian guru pendidikan jasmani jadi kenyataan

PENANTIAN untuk menjadi antara pemenang mingguan saingan Liga Fantasi Kosmo! 2022/2023 akhirnya termakbul buat pengurus Lahad Datu FC, Hassan Mahaseng.

Jika sebelum ini, guru pendidikan jasmani di Sekolah Kebangsaan Sri Tanjung Papat 1 di Sandakan, Sabah itu hanya mengurus dan melatih para pelajarnya.

“Saya memang minat bola sepak dan ada latih budak-budak di sekolah, tetapi sebagai jurulatih yang tidak bertauliah sahajalah,” katanya.

Namun, kini Hassan boleh tersenyum apabila kejayaannya diiktiraf sebagai salah seorang pemenang minggu ke-17 dan terus membuka peluang untuk dia mengejar kelompok 10 terbaik.

“Boleh dikatakan (Liga Fantasi) Kosmo! antara yang ditunggu-tunggu semua pemain. Ia bukti kita sebagai pemenang apabila cerita kita keluar di akhbar.

“Untuk saya kejar Top 10 tidak mustahil kerana saya belum guna lagi ketiga-tiga cip yang ada,” katanya yang pernah menjadi penulis sebuah majalah sebelum ‘terjun’ ke bidang perguruan.

HASSAN MAHASENG

Editor filem yakin reputasi Kosmo!

KEJAYAAN muncul antara pemenang mingguan tertinggi bagi saingan minggu ke-17 meningkatkan lagi kepercayaan Faizal Karim terhadap Kosmo! selaki penganjur Liga Fantasi Kosmo! 2022/2023.

Pengurus pasukan lattmaestro 18 itu pada awalnya tidak begitu berminat untuk menyertai mana-mana anjuran berbayar selepas sering diceritakan dengan kisah penganjur ‘lesap’ selepas mendapat yuran pendaftaran.

Dia yang bekerja sebagai editor filem itu kini merasakan penyertaannya amat berbaloi dengan hadiah menantinya apatah lagi baru sahaja melayang RM300 membaiki pintu keretanya disebabkan kemalangan.

“Alhamdulillah untuk rezeki ini kerana saya rasa berada dalam senarai lima tertinggi. Seronok dan berbaloi kali pertama sertai peraduan berbayar sebab saya tak percaya sangat sebelum ini,” katanya.

Pengurus yang menetap di Ampang, Selangor itu merasakan tindakan beraninya menjual Joao Cancelo untuk membeli Mohamed Salah menjadi penyumbang banyak mata buatnya minggu ini.

Percaturannya terus mengekalkan trio serangan Erling Haaland, Ivan Toney dan Aleksandar Mitrovic sejak awal musim turut menjadi antara faktor kejayaannya mengutip lebih 100 mata.

FAIZAL KARIM

Strategi tukar pemain selepas Piala Dunia menjadi

PERTUKARAN percuma yang diperuntukkan selepas saingan Piala Dunia Qatar 2022 digunakan sebaiknya pasukan The 11 Jokers untuk membentuk skuad terbaik bagi mengharungi minggu ke-17 saingan Fantasy Premier League (FPL).

Hasilnya cukup memberangsangkan apabila skuad kendalian Hasrimie Abdul Hamid itu berjaya menjadi salah sebuah pasukan pemenang mingguan bagi kejohanan Liga Fantasi Kosmo! 2022/23.

Percaturan menggunakan penyerang Manchester City, Erling Haaland sebagai kapten turut membuahkan hasil selepas pemain antarabangsa Norway itu meledak dua gol ketika menewaskan Leeds United 3-1.

“Alhamdulillah dapat menjadi salah seorang pemenang mingguan Liga Fantasi Kosmo! kerana saya langsung tidak letakkan sasaran memandangkan mahu memburu kedudukan terbaik pada penghujung musim nanti.

“Sudah tentu harapan saya selepas ini adalah untuk terus memperbaiki kedudukan dalam liga. Sekiranya ada rezeki, saya mahu menang lagi tetapi seperti saya cakap, sasaran utama adalah kedudukan hujung musim,” kata Hasrimie.

HASRIMIE ABDUL HAMID

Expensive Chicken mahu kekal momentum

SELEPAS merangkul kemenangan sulung bagi aksi mingguan Liga Fantasi Kosmo! 2022/23, Expensive Chicken berharap dapat mengekalkan momentum tersebut menjelang perlawanan-perlawanan akan datang.

Meskipun membuat pemilihan pasukan secara rawak bagi perlawanan minggu ke-17, namun percaturan skuad kendalian Mohamad Fauzan itu nyata membuahkan hasil apabila menjadi salah seorang pemenang mingguan.

Mata tinggi yang diberikan kapten, Erling Haaland sedikit sebanyak membantu pasukan tersebut menjadi pemenang minggu ke-17, namun Fauzan menjelaskan, pemilihan kapten mungkin berubah berdasarkan situasi.

“Secara jujur, selepas Piala Dunia saya hanya buat pemilihan secara rawak kerana mahu lihat pemain mana yang tidak cedera. Mungkin ini rezeki saya untuk menang, lebih-lebih lagi ini adalah musim pertama dalam Liga Fantasi Kosmo!.

“Memandangkan pasukan sekarang sudah ada momentum, saya harap ia akan terus membuahkan hasil selepas ini. Bagaimanapun, pemilihan kapten mungkin bertukar nanti kerana City dijangka berdepan jadual padat,” katanya.

MOHAMAD FAUZAN

EA FC teruja menang kali pertama

KEPERCAYAAN penuh terhadap ketajaman penyerang sensasi Manchester City, Erling Haaland memberi tuah kepada pasukan EA FC untuk ‘sangkut’ dinobatkan antara Top 5 pemenang Liga Fantasi Kosmo! pada minggu ke-17 (GW17).

EA FC yang dikendalikan Ezra Azrin mengakui sangat gembira apabila penantian selama hampir 17 minggu membuahkan hasil kerana meletakkan harapan tinggi pada penyertaan Liga Fantasi Kosmo! musim ini.

“Secara jujur, saya tidak sangka dapat mengutip mata tertinggi pada kempen minggu ini tetapi inilah rezeki selepas melihat semua pemain dalam pasukan agak menjadi.

“Tiada rahsia kerana pemain-pemain yang saya ada turut dimiliki oleh pasukan lain seperti Haaland. Namun, saya buat kelainan sikit dengan menyenaraikan penjaga gol, Kepa Arrizabalaga dan pemain Manchester United, Marcus Rashford.

“Terima kasih Kosmo! kerana meneruskan penganjuran liga yang kompetitif kerana ia memberi ruang dan peluang buat peminat EPL melakukan percaturan terbaik setiap minggu dengan hadiah yang lumayan,” kata peminat pasukan Chelsea ini.

EZRA AZRIN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI