fbpx

Pesawah pening, rugi RM100,000 akibat banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shamsudin (kanan) menunjukkan petak sawah di Projek Tanaman Berkelompok Padi Paya Rapat yang musnah akibat banjir di Kuala Ping, Hulu Terengganu semalam.

HULU TERENGGANU – Seramai 25 peserta Projek Tanaman Berkelompok Padi Paya Rapat di sini kerugian hampir RM100,000 setelah tanaman ditenggelami banjir baru-baru ini.

Ketua Unit projek itu, Johari Chik, 59, berkata, sewaktu bencana berkenaan, kawasan sawah padi seluas kira-kira 48 hektar tersebut telah ditenggelami banjir sehingga dua meter.

“Kami baru selesai melakukan kerja-kerja menabur benih pada awal November lalu.

“Sepatutnya sekurang-kurangnya 160 tan padi bernilai RM200,000 boleh dituai pada bulan Mac ini, malangnya 50 peratus daripadanya telah musnah,” katanya ketika ditemui di Kampung Kuala Ping di sini semalam.

Johari berkata, kerosakan benih padi yang ditabur tersebut disebabkan kebanyakan petak sawah peserta dipenuhi lumpur tebal bawaan banjir.

Sehubungan itu, dia ­­menganggarkan hasil yang akan dituai nanti cuma sekitar 50 tan, sekali gus bakal menjejaskan ­pendapatan pesawah.

“Kerugian yang dialami amat besar kerana banjir kali ini lebih teruk berbanding yang berlaku pada 2014,” katanya.

Sementara itu, seorang pesawah, Shamsudin Mat Zin, 54, memberitahu, dia mengalami kerugian ­ RM3,000 setelah tanamannya seluas 0.8 hektar musnah sepenuhnya dalam kejadian banjir baru-baru ini.

“Berputih mata saya, dua tan padi yang dijangka boleh dituai bulan Mac tahun depan dengan anggaran pendapatan RM2,500 musnah semuanya.

“Sepanjang musim tengkujuh kali ini sudah empat kali petak sawah ditenggelami air disebabkan limpahan Sungai Telemong dan Sungai Ping,” katanya.

Seorang lagi pesawah, Siti Habsah Mamat, 62, yang menanam padi sejak tahun 1975 berkata, dia biasanya kerugian antara RM2,000 hingga RM13,000 setiap kali banjir besar.

Begitupun, dia tidak serik untuk meneruskan tanaman padi kerana itu sahaja sumber pendapatannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI