fbpx

Perimeter 2022: Bilal, Puteri Sarah, Aqish, Sakinah pemanas sensasi 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAHUN 2022 menoktahkan kalendar dengan pelbagai kisah suka duka dunia seni hiburan tanah air. Ada dalam kalangan pelakunya mencatat kejayaan yang tidak pernah ditempa sebelum ini, ada juga yang perjalanan seni direncatkan dengan sepak terajang yang tidak berpenghujung.

Dalam pada sinar mentari kembali menjelma selepas bahana Covid-19 berlalu pergi, ada dalam kalangan kita berpergian jauh menghadap Ilahi. Tidak kurang, ada yang diuji masalah kesihatan tanpa disangka-sangka.

Keberantakan Puteri Sarah, Syamsul Yusof

PADA April lalu, episod pergolakan rumah tangga Puteri Sarah Liyana memasuki episod baharu apabila dia mendedahkan secara terbuka diganggu orang ketiga.

Wanita yang dikatakan menjadi punca pergolakan tersebut ialah Ira Kazar iaitu anak kepada pelakon senior Kazar. Demi hak dan maruah, Puteri Sarah nekad memfailkan saman di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan dua aduan di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung gangguan serta pemerasan yang diterimanya daripada Ira pada Jun lalu.

Sementara Ira bakal diseret muka pengadilan pada Ogos 2023, Syamsul pula menyusul dengan kenyataan mahu menyaman Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

 

Wajah Bilal terbongkar

LAMA mengambil masa dan ‘ditekan’ sebelum membulatkan keputusan untuk berkongsi wajah anak tersayang, Muhammad Bilal yang dilahirkan pada 29 Januari lalu, figura seni sensasi, Neelofa akhirnya berkongsi wajah puteranya itu pada 12 Oktober.

Sebelum berbuat demikian, Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd. Noor menerima pelbagai kecaman termasuk dakwaan mengeksploitasi anaknya demi tujuan pemasaran perniagaan atau kandungan dalam media sosial.

‘Comeback’ Puteri Balqis

LAMA menghilang, pelakon Puteri Balqis atau Aqish, 15, kembali mewarnai industri seni tanah air. Penampilannya yang ‘aneh’ dan seksi turut menjadi perhatian. Hidup hasil kutip sampah dan pendedahan tentang bapanya antara isu panas membabitkan dirinya.

Tudung Elyana melayang

HILANG kanser, tudung melayang. Itu kata-kata buat dilemparkan kepada penyanyi Elyana selepas tampil dengan imej tidak bertudung sekitar Ogos lalu.
Dia mengejutkan ramai apabila beberapa kali berkongsi foto tidak bertudung dalam Instagramnya. Dia bagaimanapun enggan memberikan perincian tentang punca mengapa dia tidak lagi berhijab.

Sharifah Sakinah buat hal

TIDAK pernah sunyi daripada radar kontroversi, pelakon Sharifah Sakinah akhirnya menamatkan spekulasi apabila membuat pengakuan sudah bernikah dengan lelaki Sweden, Michael Hansen.

Enggan mendedahkan secara terperinci mengenai tarikh perkahwinan, keputusan merahsiakan hal pernikahan adalah disebabkan isu peribadi dan agama.

Namun, pada Oktober lalu Sakinah sekali lagi menghangatkan industri hiburan tanah air apabila mendedahkan rumah tangga bersama Hansen goyah dan berpisah sementara disebabkan beberapa isu termasuk hubungan jarak jauh.

Lokap, reman Sharnaaz Ahmad

PELAKON Sharnaaz Ahmad mencuri perhatian ramai apabila ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan berhubung kes menumbuk dan menendang seorang lelaki di sebuah kondominium di Segambut pada 16 Jun lalu.
Sharnaaz bagaimanapun menegaskan penahanannya hanya untuk membantu siasatan dan enggan orang ramai membuat sebarang spekulasi mengenai kesnya.
Bapa kepada Jebat Jayden itu turut menyangkal tuduhan bahawa kes tumbuk yang berlaku ada kaitan dengan sikap panas baran yang begitu sinonim dengan dirinya selama ini.

‘Drama’ putus cinta Janna Nick

NAMA pelakon juga penyanyi Janna Nick sekali lagi tersenarai antara artis kontroversi untuk tahun 2022. Antara yang menjadi tumpuan adalah tentang kisah putus cintanya dengan kekasih iaitu pelakon, Dini Schatzmann.
Janna tiba-tiba memuat naik status telah putus cinta dengan kekasihnya itu pada 16 November lalu menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya. Kedua-dua selebriti itu bertindak mengunci mulut tentang kisah putus cinta mereka.
Pada akhirnya, kisah putus cinta itu tidak lebih sekadar gimik untuk single terbaharunya, Mentari Setia yang dilancarkan pada sekitar awal Disember.

Siti Saleha cerai, dapat kekasih baharu

MENGEJUTKAN ramai, Siti Saleha bercerai talak satu dengan bekas suaminya, Ahmad Lutfi Azhar di Mahkamah Rendah Syariah Klang, Selangor pada 17 Januari lalu. Perpisahan mereka mengejutkan kerana sebelum ini Saleha tidak pernah berkongsi mengenai masalah peribadi secara terbuka. Saleha dan Lutfi yang berkahwin pada 2017 tidak dikurniakan anak.
Selepas hampir setahun menjanda, pelakon drama 7 Hari Mencintaiku itu kembali menemui bahagia apabila kekosongan hatinya diisi dengan kehadiran kekasih, lelaki kacukan bernama Joshua Fitton.

Caprice ‘penyiasat’ serba-serbi
Terus memancing kecaman netizen, Caprice tidak terkecuali menjadi antara jenama yang hangat diperkatakan sepanjang 2022. Sekitar Oktober, aktivis kemanusiaan dan rapper itu bertindak seperti ‘Detective Conan’ atau segelintir netizen melabel dirinya kaki tempel melakukan pembongkaran kes mahkamah beberapa penceramah bebas.

Nad Zainal bertarung nyawa

HUJUNG tahun 2022 juga menyaksikan dunia hiburan tanah air dikejutkan dengan berita pelakon Nad Zainal yang terlantar akibat jangkitan kuman pada paru-paru. Nad juga dua kali ditidurkan dan dipantau di unit rawatan rapi (ICU) kerana kondisi paru-parunya berada dalam keadaan lemah. Pada mulanya, rakan-rakan rapatnya memaklumkan paru-paru pelakon drama Dendam Seorang Isteri itu berdarah dan kemudian, buah pinggangnya berdepan kesan komplikasi tersebut. Atas rasa prihatin, tabung dana kecemasan bagi menampung kos perbelanjaaan rawatan aktres berbakat besar itu ditubuhkan dan sehingga artikel ini ditulis, RM270,000 berjaya dikumpul.

Shuib X calon isteri?
CERITA tentang pelawak dan juga usahawan terkenal Shuib yang kini sedang rapat dengan seorang wanita dikenali sebagai Watie bukan lagi rahsia. Sekitar November lalu, Shuib seolah-olah sengaja memuat naik gambar menampakkan pantulan imej seorang wanita yang dipercayai Watie untuk tatapan peminat.

Perginya Adibah Noor

TANGGAL 18 Jun, negara khususnya industri hiburan dikejutkan dengan pemergian sebutir permata selepas Allahyarham Adibah Noor, 52, menghembuskan nafas terakhir akibat kanser ovari tahap empat.
Bintang Gegar Vaganza musim kelapan itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Keramat Permai, Taman Keramat pada 19 Jun.
Dia merahsiakan penyakit yang dihidapi sejak empat tahun lalu daripada pengetahuan umum. Paling membuatkan ramai pilu apabila Adibah turut meninggalkan lebih 40 ekor kucing yang dibela di kediamannya. Pemergian bintang filem Sepet itu disifatkan satu kehilangan besar kepada industri seni tanah air.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI