fbpx

Perimeter 2022: PRU15, Anwar PM ke-10, Najib ke penjara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Perimeter adalah merujuk kepada ukur lilit penuh keliling suatu bentuk. Begitulah juga boleh diibaratkan 2022, tahun yang menyaksikan ‘perjalanan jauh’ yang dilalui rakyat Malaysia untuk sampai ke penghujungnya. Macam-macam hal tidak menentu, huru-hara dek kejutan, menghitung waktu dalam fasa penuh teka-teki dan ‘tersekat’ di tengah jalan dilalui, namun mujurlah akhirnya ada jawapan pasti.

‘Ibu berita’ pada tahun ini sudah semestinya ‘ibu pilihan raya’, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Pada 10 Oktober lalu, ketika negara di ambang musim tengkujuh, Parlimen dibubarkan untuk memberi laluan kepada PRU15. Ramai rakyat Malaysia tidak menjangkanya, namun itulah yang berlaku.

Setelah Parlimen dibubarkan, menjadi teka-teki pula buat rakyat berhubung tarikh mengundi PRU15 sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November sebagai hari pengundian. PRU15 juga menyaksikan permulaan perlaksanaan Undi18 atau individu berusia 18 tahun dibenarkan mengundi dalam PRU.

Di sebalik segala keresahan PRU15 berlangsung ketika musim hujan dan banjir, PRU15 akhirnya berjalan dengan lancar di seluruh negara. Bagaimanapun, keputusan PRU15 pula menyaksikan berlakunya situasi pertama kali dalam sejarah Malaysia iaitu Parlimen tergantung apabila tiada parti yang berjaya menang dengan majoriti mudah 112 kerusi bagi membentuk kerajaan.

Berdasarkan keputusan rasmi Pakatan Harapan (PH) menang 82 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (PN) menang 74 kerusi, Barisan Nasional (BN) menang 30 kerusi dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang 23 kerusi.

Namun begitu, PH dan PN masing-masing mendakwa masing-masing mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan melalui persetujuan dan persefahaman dengan parti-parti lain.

Selama seminggu negara ‘buntu’ tanpa kerajaan dan Perdana Menteri, akhirnya pada 24 November, dengan kearifan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerusi titahnya untuk diwujudkan Kerajaan Perpaduan telah berjaya menyatukan PH, BN dan parti-parti lain.

Pada sebelah petang hari yang sama juga, Baginda berkenan untuk melantik Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 selaras dengan kuasa Baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Setelah lebih dua dekad perjuangan ke Putrajaya, Anwar yang dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) pada 1998 akhirnya menjadi PM Malaysia.

Anwar mengangkat sumpah jawatan sebagai PM ke-10 di hadapan Al-Sultan Abdullah di Istana Negara pada pukul 5.06 petang.

Rakyat Malaysia kemudian perlu menunggu selama lapan hari sebelum Anwar memuktamadkan Kabinet Kerajaan Perpaduan iaitu pada 2 Disember. Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai TPM.

 

Najib ke penjara, Rosmah bersalah, Zahid bebas

Buat pertama kalinya dalam sejarah Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi bekas perdana menteri pertama yang dipenjarakan.

Najib ke penjara setelah Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lalu mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atasnya kerana menyeleweng dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta sekali gus menyaksikan Najib kecundang dalam rayuan peringkat tertinggi selepas empat tahun kes berlangsung.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tengku Mat.

Dalam penghakimannya, Hakim Tengku Maimun mendapati keputusan Hakim Mahkamah Tinggi dan panel-panel Hakim Mahkamah Rayuan sebelum ini adalah selamat dan tidak perlu diubah.

Najib telah dihantar ke Penjara Kajang, Selangor untuk menjalani hukuman tersebut.

ROSMAH

Dalam pada itu, pada 1 September lalu, isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor disabitkan bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan mensabitkan Rosmah atas tiga pertuduhan rasuah itu selepas mendapati Rosmah bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan selain tertuduh gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan itu.

Rosmah dihukum penjara 10 tahun dan denda RM970 juta. Bagaimanapun mahkamah membenarkan permohonan Rosmah menangguhkan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Sementara itu, nasib berbeza dialami oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi apabila beliau dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi atas 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) pada 23 September lalu.

Hakim Datuk Mohd. Yazid Mustafa mendapati pihak pendakwaan gagal buktikan kes prima facie terhadap kesemua pertuduhan di akhir kes pendakwaan.

 

Rakyat Malaysia memenuhi segenap ruang jalan semasa menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos lalu yang diraikan dengan sambutan luar biasa pada tahun ini.

Fasa peralihan ke endemik

TANGGAL 1 April 2022 menjadi tarikh penting apabila Malaysia mengisytiharkan memasuki Fasa Peralihan ke Endemik dari fasa pandemik Covid-19 sebelum ini.

Perdana Menteri pada ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapannya berkata, peralihan itu dilakukan sebagai satu strategi bagi membolehkan rakyat Malaysia menjalani kehidupan normal selepas dua tahun berperang melawan wabak maut, Covid-19.

Rentetan daripada pengumuman paling dinanti-nanti itu, kewajipan untuk memakai pelitup muka juga menjadi alternatif selain beberapa kelonggaran lain meliputi pelbagai sektor ekonomi dan sosial yang dapat dinikmati semula.

Umat Islam yang sebelum ini tidak dapat mengimarahkan masjid seperti majlis berbuka puasa dan moreh, solat fardu dan tarawih berjemaah yang terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat juga sudah boleh berbuat demikian. Saf-saf mula dirapatkan.

Paling menggembirakan, umat Islam di negara ini turut berpeluang pulang ke kampung halaman bagi meraikan sambutan Aidilfitri setelah dua tahun tidak dapat berbuat demikian disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan.

Biarpun Aidilfitri tahun ini dianggap ‘raya terkejut’ kerana tiba sehari lebih awal daripada yang dijangkakan ramai, tetapi tetap disambut meriah di sana sini.

Tidak ketinggalan, sektor pelancongan negara juga kembali aktif rentetan pembukaan pintu sempadan negara yang membenarkan kemasukan ke dalam dan luar negara meliputi pengangkutan darat, udara dan air.

Banyak aktiviti dan perhimpunan disertai orang ramai yang tidak mahu melepaskan peluang keluar setelah lama terperuk di dalam rumah. Hari Kebangsaan pada 31 Ogos tahun ini pula disambut dengan kemeriahan luar biasa apabila Dataran Merdeka menerima kehadiran lebih 100,000 orang berbanding 50,000 sasaran asal. Pengunjung memenuhi kawasan perbarisan dan perarakan sepanjang tiga kilometer.

Selain itu, bandar Kuala Lumpur juga mengalami kesesakan lalu lintas luar biasa sejak pandemik sehingga jalan-jalan raya ibu kota sesak semula kerana lebih ramai orang boleh kembali ke tempat kerja.
Malah, terdapat data mendakwa kesesakan trafik sekarang lebih teruk berbanding keadaan sebelum pandemik.

 

Ancaman penyakit berjangkit lain, Influenza, HFMD

SELEPAS dua tahun menempuh dan berperang tanpa senjata melawan pandemik Covid-19 yang masih berbaki, negara diancam pula dengan beberapa penyakit berjangkit lain sekali gus merunsingkan rakyat.

Bagaikan musimnya, penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dan influenza silih berganti hadir membadai negara sehingga mencetuskan kekhutiran sekiranya perlu melalui tempoh ‘duduk rumah’ semula.

Perkara itu benar-benar memberi satu tekanan terutama buat frontliner (barisan hadapan) dan pekerja kesihatan dalam membendung penyakit berjangkit tersebut.

Trend jangkitan Influenza A yang menular dalam masyarakat di negara ini sekitar Julai lalu membimbangkan. Simptomnya yang mirip Covid-19 menyebabkan ramai sangka mereka diserang virus maut itu. Biarpun tiada arahan kuarantin wajib bagi pesakit, namun isolasi merupakan langkah terbaik.

HFMD pula merupakan penyakit jangkitan virus yang senang merebak dan kesnya sangat ketara terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.

 

Sejarah tercipta apabila bahasa Melayu diucapkan sepenuhnya oleh Ismail Sabri dalam Perhimpunan Agung PBB di ibu pejabat PBB di New York, Amerika Syarikat September lalu.

Bahasa Melayu berkumandang di PBB

SELEPAS 65 tahun Persekutuan Tanah Melayu diterima sebagai anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tanggal 24 September lalu tercatat satu lagi peristiwa signifikan buat Malaysia di mata dunia.

Bahasa Melayu mencipta sejarah gemilang apabila diperdengarkan sekali gus dimartabatkan di ibu pejabat badan tertinggi dunia berpangkalan di Amerika Syarikat itu menerusi penampilan bekas Perdana Menteri (PM) iaitu PM ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berucap dalam bahasa ibunda pada perhimpunan diplomatik terbesar itu.

Ismail yang tampil segak berbaju Melayu hitam mencuri tumpuan delegasi lain sebaik melangkah masuk dewan utama sekali gus berucap menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya.

Beliau mengakhiri ucapan berdurasi 20 minit itu dengan sepotong ayat: “United we stand, divided we fall, selagi kita bersatu padu dan teguh bersama dalam memikul beban ini, saya pasti kita akan berjaya”.

Ismail turut menyeru komuniti antarabangsa bekerjasama mengamalkan semangat Keluarga Dunia, dalam menghadapi cabaran global mendatang.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI