fbpx

Perimeter 2022: Kuasa tular pelukan bapa saudara, abang bomba sado, Iron Lady KLCC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERARAKAN sambutan Hari Kebangsaan 2022 yang penuh meriah di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur 31 Ogos lalu telah sekelip mata menaikkan saham pasukan bomba apabila anggota-anggotanya yang bertubuh kekar menjadi tumpuan orang ramai.

Kalau hendak dikatakan tentang perarakan sambutan kemerdekaan tahun ini, memang kelibat abang-abang bomba sadolah yang paling diingati orang sehingga netizen menyebutkan ‘ini tahun abang bomba’.

Malah, video perarakan itu dikongsikan ribuan pengguna media sosial sekali gus membuatkan abang-abang bomba yang menayang susuk tubuh dan otot masing-masing menjadi popular.

Salah seorang daripadanya ialah Asmasaifulhayat Ahmad, 32, atau lebih mesra dipanggil Manir yang mendapat sorakan kuat.

Ujarnya yang sudah berkhidmat sebagai anggota bomba sejak 10 tahun lalu, jumlah pengikutnya di laman Instagram turut bertambah selepas insiden itu.

Selain meminati kerjaya bomba kerana dapat membantu orang ramai, Manir juga pernah sertai pertandingan bina badan dua kali dan pernah bergelar juara pada 2018.

 

Netizen sebak kasih, pelukan bapa saudara

PADA 21 Julai lalu, tular kisah seorang lelaki warga emas berlari ke tengah padang kawad untuk menyelamatkan seorang anak muda yang rebah sehingga mengundang rasa sebak dalam kalangan pengguna Internet.
Abdul Aziz Yaakob, 60, bapa saudara kepada anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Nik Mohd. Adhar Nik Ismadi, 22, berlari ke tengah padang dan memeluk tubuh anak saudaranya itu bagi mengelakkan dia daripada tumbang sewaktu berada dalam perbarisan sempena Hari Penguat Kuasa KPDNHEP di Maktab Penjara Malaysia di Kajang, Selangor.

Nik Mohd. Adhar berkata, ketika kejadian dia sebenarnya kurang sihat kerana demam.

Perkongsian Menteri KPDNHEP ketika itu, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengenai kejadian itu mencuri tumpuan umum apabila beliau menyifatkan tindakan Abdul Aziz sebagai cerminan kasih sayang tidak berpenghujung.

Menerusi hantaran Alexander, Abdul Aziz dilihat berlari ke padang kawad semata-mata mahu mengangkat anak saudaranya yang pitam.

Biarpun merupakan anak saudara, namun Nik Mohd. Adhar telah dianggap Abdul Aziz seperti anak sendiri kerana telah menjaga anak yatim piatu itu sejak berusia tiga bulan.

 

Wanita ‘takluki’ KLCC

Seorang wanita digelar Iron Lady apabila berada di puncak Menara Berkembar Kuala Lumpur City Centre (KLCC) pada November lalu membuatkan orang ramai kagum sekali gus memberi inspirasi.

Menerusi video perkongsian di akaun TikTok @siva_wwc6 menyaksikan seorang wanita berhijab sama sekali tidak gentar bekerja di bahagian paling tinggi mercu tanda Kuala Lumpur yang berketinggian 88 tingkat dengan memakai alat keselamatan lengkap.

Wanita itu, Maya Sidek yang bertugas sebagai juruteknik akses tali sempat melambai sewaktu dron yang tidak dikenali merakamkan aksinya.

Video tersebut mendapat jumlah tontonan sebanyak 2.4 juta dengn hampir 10,000 komen yang rata-rata memuji kehebatan wanita itu apabila tidak gentar berada di kedudukan yang begitu tinggi demi tugasnya kepada negara.

 

Elektrik terputus tiga jam di Semenanjung

Gangguan bekalan elektrik selama hampir tiga jam pada 27 Julai lalu yang melibatkan kebanyakan negeri di Semenanjung telah mencetuskan situasi cemas dan panik orang ramai.

Kejadian tersebut berpunca daripada ke­rosakan di salah satu peralatan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng North di Yong Peng, Johor.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkata, masalah itu telah mengakibatkan kehilangan beban sebanyak 2.2 gigawatt (GW) yang merupakan 10 peratus daripada keseluruhan permintaan bekalan di Semenanjung Malaysia.

 

Kontroversi wanita pakai ihram lelaki

Tular sebuah video di sosial media pada 22 Ogos lalu mengenai seorang individu dipercayai wanita dari Malaysia yang menunaikan umrah dengan memakai ihram lelaki.

Video berdurasi 17 saat yang dikongsikan di bebenang Twitter pemilik akaun, @Aliyameha itu menunjukkan individu terbabit sedang merakam dirinya di hadapan kaabah.

Rata-rata netizen yang memberikan komen terhadap video tersebut menyifatkan perbuatan itu sebagai melampau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI