fbpx

Pekerja pasar raya cedera ditetak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KULIM – Seorang pekerja pasar raya cedera akibat ditetak dua lelaki tidak dikenali di hadapan premis tersebut di Taman Serai Wangi, Padang Serai dekat sini pada malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, lelaki berusia lingkungan 50-an terbabit cedera pada kepala, tangan dan kaki.

Mangsa diserang ketika berseorangan di luar pasar raya berhampiran kawasan letak kenderaan.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd. Redzuan Salleh berkata, pihaknya menerima maklumat tentang kejadian daripada orang awam kira-kira pukul  10.10 malam.

Katanya, sepasukan anggota polis kemudian pergi ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan.

“Mangsa yang berlumuran darah akibat kecederaan dialaminya dibawa ke Hospital Kulim dengan ambulans,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, mangsa merupakan pekerja di pasar raya tersebut dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Punca kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan  kejadian boleh menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim di talian 013-435 8399. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI