PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan masih ada kelompok kecil dalam pasukan penguatkuasaan yang masih cuai dan terlibat rasuah.
Perdana Menteri berkata, beliau dimaklumkan masih ada antara anggota penguatkuasaan itu yang masih meneruskan adegan lama dengan mengutip habuan, meletakkan kos tambahan dan menentukan ada hadiah besar.
“Kita tidak akan bertolak ansur dengan segala kecuaian yang cuba meroboh dan merosakkan negara ini.
“Sebulan berlalu sejak saya mengambil alih pimpinan Putrajaya, ada perubahan tapi masih ada kelompok kecil yang meneruskan adegan lama.
“Saya mohon kerjasama sepenuhnya kerana percayalah saya tidak akan bertolak ansur dengan segala kecuaian ini,” katanya ketika menyampaikan pada Amanat Tahun Baharu 2023 di Masjid Putra, di sini malam ini.
Katanya, beliau memohon kerjasama kepada penjawat awam dan badan penguatkuasaan supaya lebih mengerti dan memahami, namun pada masa sama kelompok kecil itu mesti dihapuskan.
Anwar berkata, mudah-mudahan ada keinsafan untuk mereka melakukan perubahan jika tidak satu tindakan tegas akan diambil. – KOSMO! ONLINE