SKUAD hoki kebangsaan berpeluang cerah untuk melangkah ke pusingan kalah mati pada Kejohanan Hoki Piala Dunia di India bulan depan sekiranya penyerang, Faizal Saari kembali menemui sentuhan pemusnah.
Pemain berusia 31 tahun itu seolah-olah hilang taring sejak akhir-akhir ini, terutamanya ketika dia hanya menjaringkan satu gol sepanjang beraksi pada kejohanan Piala Negara-Negara FIH di Potchefstroom, Afrika Selatan awal bulan ini.
Justeru, ketua jurulatih Malaysian Tigers, Arul Selvaraj mencabar Faizal supaya kembali ke prestasi kemuncak di mana dia pernah menjadi penjaring terbanyak dalam beberapa kejohanan besar termasuk Piala Asia 2017 serta Liga Hoki Dunia 2015.
“Dia (Faizal) perlu pamerkan kebangkitan kerana sudah lama dia tidak beraksi dengan prestasi terbaik untuk kami. Aksi yang ditampilkan pada Piala Negara-Negara sebelum ini juga kurang meyakinkan.
“Pemilihan Faizal ke Piala Dunia bukan sahaja untuk dirinya, tetapi bersama pasukan dan inilah masa untuk dia memikul tanggungjawab bagi membawa Malaysia melangkah ke pusingan seterusnya,” katanya.
Pada masa sama, beliau mengakui, pemain kelahiran Terengganu itu sudah banyak berubah ke arah lebih positif selepas berkelana 10 bulan di Belanda dengan beraksi mewakili pasukan ZSV Schaerweijde.
Bagaimanapun, Arul tetap mengharapkan kerja keras Faizal dan memberi amaran supaya tidak hanya bersandar kepada reputasi sebagai salah seorang penyerang yang disegani.
“Selama ini dia hanya bersandar kepada nama besar yang dimiliki, namun saya tidak berminat dengan perkara sedemikian. Ini adalah pesanan buat Faizal untuk sama-sama pikul tanggungjawab dan pamerkan aksi terbaik bersama pasukan.
“Faizal seorang pemain yang bagus, tetapi dia perlu meningkatkan lagi kualiti permainan kerana kadangkala aksinya kurang konsisten. Dia perlu faham kita sudah labur banyak masa dan tenaga untuk dirinya,” ujar Arul.