fbpx

Mahkamah: Hakim tersalah arah putuskan pendakwaan gagal bukti rasuah VLN Ahmad Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid.

SHAH ALAM – Pihak pendakwaan menyatakan Hakim Mahkamah Tinggi di sini terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie bagi membuktikan kesalahan dihadapi Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi 40 pertuduhan menerima rasuah membabitkan Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Berdasarkan dokumen yang diperoleh, dalam petisyen rayuan difailkan pada 29 Disember lalu, pendakwaaan mendakwa Hakim Datuk Mohd. Yazid Mustafa turut tersalah arah ketika menolak keterangan mengenai penghantaran rasuah kepada Ahmad Zahid apabila membuat perbandingan fakta antara kes tersebut dengan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor berhubung pertuduhan projek solar hibrid.

“Hakim itu telah terkhilaf apabila menolak pembuktian elemen menerima suapan secara rasuah dan elemen mendapatkan benda berharga tanpa balasan daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) sedangkan terdapat keterangan lisan dan dokumen yang cukup serta kukuh untuk membuktikannya,” kata pihak pendakwaan.

Pendakwa raya selaku perayu membuat petisyen rayuan itu bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Timbalan Perdana Menteri itu pada 23 September lalu.

Dakwa pendakwaan, hakim tersebut tersalah arah dalam menilai kredibiliti saksi-saksi pendakwaan apabila gagal mengambil kira bahawa mereka tiada motif jahat atau terselindung ketika memberikan keterangan mengenai pemberian atau penghantaran wang kepada Timbalan Perdana Menteri itu.

Petisyen rayuan itu turut menyatakan hakim telah tersalah arah apabila gagal mengambil kira keterangan saksi pendakwaan bahawa sebuah lejer yang dikemukakan sebagai keterangan dokumen adalah satu dokumen semasa dan menolaknya secara total walaupun ada keterangan mencukupi untuk membuktikan sebaliknya.

Justeru rayuan pendakwaan ditetapkan untuk pengurusan kes pada 10 Januari depan di Mahkamah Rayuan, Putrajaya.

Pada 23 September lalu, Kosmo! melaporkan Ahmad Zahid dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari atas 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem VLN.

Hakim Mohd. Yazid membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kesemua pertuduhan di akhir kes pendakwaan.

Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan menutup kesnya dengan memanggil seramai 18 saksi antaranya bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Alwi Ibrahim serta tiga bekas Pengarah Ultra Kirana Sdn. Bhd. (UKSB), Harry Lee Vui Khiun, Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani dan David Tan Siong Sun.

Mengikut pertuduhan utama, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah atas 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SGD$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri.

Suapan itu bagi menyambung kontrak syarikat tersebut sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan VLN serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak bagi membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 serta boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, sebagai Menteri Dalam Negeri menerima suapan berjumlah SGD$13.56 juta berhubung sistem VLN pada 2014 hingga 2017.

Presiden UMNO itu turut mengaku tidak bersalah atas tujuh lagi pertuduhan memperoleh untuk dirinya SGD$1,150,000, RM3.125 juta, 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya dan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights, Kajang pada Oktober 2014 dan Mac 2018. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI