PETALING JAYA – Juadah pertama hasil air tangan pelakon Fatin Afeefa buat suami, Aliff Awang selepas bergelar suami isteri adalah mi segera atau maggi.
Perkara tersebut didedahkan Aliff atau lebih dikenali dengan nama Opai menerusi InstaStory miliknya.
“Alhamdulillah. Makanan pertama sebagai suami isteri maggi (mi segera).
“Orang kata, bukan nilai sesuatu barang yang membuat sesuatu perkara perlu dihargai tetapi ingatan itu,” ujar Aliff yang merupakan jutawan muda pelaburan online.
Malam tadi, Fatin atau nama sebenarnya, Fatin Nur Afifah Shamsudin bernikah dengan Aliff yang berusia lingkungan 30-an dalam sebuah majlis bertembat di Putra Glass Hall, Subang Jaya, Selangor.
Pasangan mempelai itu sah bergelar suami isteri sekira pukul 8.40 malam tadi.
Bulan lalu, Fatin, 28, sepertinya memberi bayangan sudah bergelar tunangan orang namun tiada perincian lanjut.
Fatin pernah berkahwin dengan pelakon Adam Shahz pada 21 Disember 2013 namun disahkan bercerai 30 Mei 2017.
Hasil perkahwinan terdahulu, pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Ivy Herra Sophia, 7.
Sebelum berkahwin dengan Adam, Fatin juga mempunyai seorang cahaya mata lelaki, Adam Aisy Arrian, 10. – KOSMO! ONLINE