BOGOTA – Seorang peminat Lionel Messi mendakwa bahawa dia kini menyesal setelah mencacah tatu nama bintang bola sepak Argentina itu susulan kemenangan pasukan tersebut dalam Piala Dunia 2022, lapor portal berita MailOnline semalam.
Pesohor media sosial Columbia, Mike Jambs melakar perkataan Messi di dahinya dan tiga bintang di salah satu pipinya untuk setiap kemenangan Argentina dalam Piala Dunia.
Selain itu, perkataan D10S dilakar di pipi lain yang merupakan gabungan perkataan Sepanyol untuk Tuhan dan nombor terkenal Messi, 10.
Jambs pada awalnya mempertahankan keputusannya ketika dikritik ramai orang selepas memut naik rakaman tatu pelik itu di laman Instagram.
“Saya tidak membahayakan sesiapa, saya tidak melakukan apa-apa yang menyalahi undang-undang,” katanya.
Bagaimanapun semalam, dia akhirnya berharap untuk memutarkan masa ke belakang.
“Saya menyesal telah mencacah tatu kerana daripada membawa perkara positif, ia sebaliknya membawa banyak perkara negatif, baik secara peribadi mahupun ke atas keluarga,” jelas Jambs.
Pelukis-pelukis tatu telah dibanjiri dengan permintaan ramai peminat untuk mengabadikan penghormatan kepada Messi selepas kemenangan Argentina dalam Piala Dunia Qatar. – Agensi