fbpx

Kegagalan sistem perparitan punca banjir kilat berulang di Kok Lanas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk di Taman Wadi Iman, Kok Lanas menunjukkan sistem perparitan di kawasan taman tersebut yang sering menjadi punca berlaku banjir kilat sejak empat tahun lalu. -Foto KAMARUL BISMI KAMARUZZAMAN

KOTA BHARU – Lebih 500 penduduk di Taman Wadi Iman, Kok Lanas di sini mendakwa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri Kelantan gagal menyelenggara sistem perparitan dengan baik sehingga menyebabkan berlaku banjir kilat di kawasan berkenaan sejak empat tahun lalu.

Kebanyakan penduduk terpaksa berdepan masalah banjir kilat berulang setiap kali berlaku hujan lebat tidak berhenti dalam tempoh beberapa hari.

Muhammad Abdul Hakim Adnan, 27, berkata penduduk kesal dan kecewa apabila PBT di Kok Lanas dan kerajaan negeri gagal menyelesaikan masalah yang dialami rakyat.

Katanya, masalah terbabit pernah dirujuk kepada PBT, namun tiada penyelesaian sehingga kini.

“Bukan setakat itu, pihak kerajaan negeri dan wakilnya turut datang melihat keadaan taman ini dua tahun lalu. Mereka berjanji untuk menyelesaikan masalah terbabit, namun keadaan tidak berubah dan tetap sama.

“Taman Wadi Iman terjejas banjir kilat sebanyak dua kali pada tahun ini pada Mac lalu dan 18 Disember lalu yang melibatkan sebanyak 40 buah rumah terkesan,”katanya kepada pemberita selepas menyertai Piket Aman Desak Kerajaan Negeri Kelantan Atasi Banjit Kilat di Taman Wadi Iman di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk, Mohd. Yusof Ahamad Fatani, 34, berkata, banjir luar jangka sering berlaku di kawasan itu yang turut memusnahkan harta benda penduduk.

Menurutnya, barangan rumah seperti peti sejuk, mesin basuh dan perabot rosak akibat musibah itu.

“Projek perumahan di sini telah diluluskan oleh pihak kerajaan negeri dan sepatutnya mereka lebih cakna terhadap masalah tersebut.

“Sejujurnya, ramai penduduk di sini termasuk saya mahu menjual semula rumah kami kerana tidak tahan dengan keadaan ini,” katanya.

Sementara itu, Nurul Aini Mat Said, 51, berkata, dia berharap kerajaan negeri dapat mengambil tindakan segera apabila 40 penduduk di sini mengalami kerugian hampir RM100,000 akibat kejadian banjir kilat di kawasan itu baru-baru ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, Marinamarican Abdullah ketika dihubungi berkata, masalah yang dihadapi penduduk taman tersebut bakal diselesaikan selepas projek perparitan bagi mengelak banjir kilat akan dilaksanakan bermula tahun depan.

Menurutnya, JPS sudah buka tender bagi projek pembinaan dan menaik taraf sistem saliran Taman Wadi Iman yang dianggarkan bernilai RM3 juta.

“Proses penilaian tender sedang dijalankan bagi memilih kontraktor yang berkelayakan bagi melaksanakan projek tersebut. Insya-Allah ia akan bermula pada Mac tahun 2023,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI