fbpx

Kadar tol Lebuh Raya Besraya, Lekas turun mulai esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Kadar tol di dua lebuh raya iaitu Lebuh Raya Sungai Besi (Besraya) dan Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) akan turun antara 15 sen hingga 50 sen mulai tengah malam ini.

Mengumumkan perkara itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penurunan kadar tol yang bermula pukul 12.01 tengah malam itu dibuat selepas perbincangan dan persetujuan syarikat konsesi dua lebuh raya itu, IJM Corporation Berhad.

Beliau berkata, penurunan kadar tol itu juga merupakan sebahagian daripada persetujuan penyusunan semula struktur dan kadar tol bagi kedua-dua lebuhraya ini yang diputuskan oleh Kerajaan.

“Penurunan kadar tol adalah sebanyak RM0.15 bagi kenderaan kelas 1 yang melalui Plaza Tol Loke Yew dan Mines (arah Utara & Selatan), Lebuh Raya Besraya.

“Manakala kadar tol bagi kenderaan kelas 1 dikurangkan daripada 0.1811 sen/kilometer(km) kepada 0.1666 sen/km bagi Lebuh Raya Lekas bagi sistem tol tertutup dan kadar tol kekal seperti sedia ada bagi sistem tol terbuka iaitu di Plaza Tol Ampangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Nanta Linggi berkata, kadar tol yang dikutip pada masa ini adalah sebanyak RM2.00 sehala bagi kenderaan
kelas 1 yang melalui mana-mana plaza tol Lebuh Raya Besraya dan RM8.30 sehala bagi kenderaan kelas 1 yang menggunakan keseluruhan Lebuh Raya Lekas.

Jelas beliau, mulai esok dan kenderaan Kelas 1 yang melalui mana-mana plaza tol Lebuh Raya Besraya akan membayar RM1.85 sehala, manakala bagi pengguna yang menggunakan keseluruhan Lebuh Raya Lekas akan membayar RM7.80 sehala. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI