fbpx

Feri pejalan kaki percuma diteruskan sehingga Jun 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Feri bot laju yang menggantikan feri ikonik Pulau Pinang sejak 1 Januari lalu

GEORGE TOWN – Kerajaan negeri Pulau Pinang memutuskan untuk menyambung penajaan program feri percuma selama enam bulan pada tahun depan iaitu bermula dari 1 Januari 2023 sehingga 30 Jun 2023.

Pengerusi Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, perkara itu adalah seiring dengan lanjutan pembiayaan Pas Mutiara oleh kerajaan negeri yang telah diumumkan baru-baru ini.

”Ini sekali gus bermaksud bahawa sekali lagi, jaringan pengangkutan awam di Pulau Pinang baik pengangkutan air atau darat adalah percuma bagi semua warganegara Malaysia.

“Pembiayaan tambang feri kepada penumpang pejalan kaki ini melibatkan peruntukan sebanyak RM78,000 sebulan dengan jumlah tiket sebanyak 65,000 tiket sebulan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, jumlah keseluruhan peruntukan adalah dianggarkan sebanyak RM468,000 bagi tempoh enam bulan tahun 2023.

”Program yang mula dilancarkan sejak 1 Julai 2021 ini telah mendapat sambutan hangat daripada warga Pulau Pinang di mana jumlah ridership menunjukkan momentum yang semakin meningkat, lebih-lebih lagi apabila negara memasuki fasa endemik Covid-19.

”Dengan adanya penajaan ini, ia membolehkan penumpang pejalan kaki berwarganegara Malaysia layak untuk menikmati perkhidmatan feri Pulau Pinang secara percuma pada setiap hari dan setiap masa,” katanya.

Tambahnya, penumpang hanya perlu membawa MyKad (yang telah didaftarkan terlebih dahulu di kaunter tiket) dan tap di peranti pengimbas MyKad yang disediakan oleh pihak Penang Port Sdn Bhd (PPSB) untuk penyeberangan percuma sebelum menaiki feri.

”Kerajaan Negeri berharap dengan adanya pembiayaan tambang feri ini, ia dapat sedikit sebanyak membantu mengurangkan kos perjalanan warga Pulau Pinang yang berulang-alik menggunakan pengangkutan awam.

”Ia juga dapat menjadi pemangkin untuk orang ramai menggunakan pengangkutan awam sebagai salah satu mod pengangkutan,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI