BRUSSELS – Agensi kesihatan Kesatuan Eropah (EU) menganggap pemeriksaan ke atas pelancong dari China yang mengalami peningkatan semula kes Covid-19 sebagai tidak wajar dilakukan, lapor portal berita WION semalam.
Ia menyatakan bahawa langkah demikian tidak perlu diperkenalkan semula di negara-negara Eropah, di sebalik pengumuman oleh sebilangan negara termasuk Amerika Syarikat (AS), Itali, India dan Australia untuk melaksanakan saringan koronavirus terhadap pelancong China.
Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC) percaya bahawa langkah sedemikian adalah tidak perlu kerana lonjakan kes Covid-19 dijangka tidak akan memberi kesan kepada EU.
“Tahap Covid-19 yang tinggi di China adalah dijangka kerana imuniti negara yang rendah dan kelonggaran peraturannya baru-baru ini,” kata ECDC dalam satu kenyataan kelmarin selepas pegawai-pegawai kesihatan EU selesai bermesyuarat di di Brussels.
“Namun, imuniti yang lebih tinggi di EU bermakna lonjakan Covid-19 di China dijangka tidak akan memberikan kesan kepada blok itu,” tambah kenyataan itu lagi.
Agensi kesihatan itu berhujah bahawa varian Covid-19 yang terdapat di China sudah pun ada di EU dan kemungkinan jangkitan import berlaku di blok tersebut agak rendah.
“Rakyat EU mempunyai vaksinasi dan imunisasi yang agak tinggi,” kata kenyataan sama.
Pengesyoran yang diberikan oleh EU itu adalah bersifat nasihat dan setiap negara bebas membuat dasarnya sendiri seperti di Itali.
“Kami tetap berwaspada dan akan bersedia untuk menggunakan ‘brek kecemasan’ jika perlu,” kata ECDC.
Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni menimbulkan kebimbangan mengenai cadangan EU dengan menyatakan, usaha Rom membendung penularan Covid-19 dari China akan terjejas jika negara EU lain tidak mengikutinya. – Agensi