LONDON – Teka-teki mengenai masa depan bekas penyerang sensasi Manchester United, Cristiano Ronaldo akhirnya terjawab selepas dia menandatangani kontrak selama 2 tahun setengah bersama jaguh Arab Saudi, Al Nassr sebagai ejen bebas.
Al Nassr mengeluarkan kenyataan bahawa mereka telah berjaya mengikat Ronaldo sehingga 2025, namun tidak mendedahkan sebarang perincian mengenai nilai kontrak, namun pihak media menganggarkan ia mencecah sehingga €200 juta (RM941 juta).
“Saya sangat bertuah kerana sudah mencapai segala-galanya di Eropah dan sekarang adalah masa yang sesuai untuk berkongsi pengalaman yang ada untuk bola sepak Asia.
“Saya sudah tidak sabar untuk bertemu rakan sepasukan yang lain dan membantu kelab ini mencapai kejayaan yang telah dirancang,” kata Ronaldo.
Al Nassr yang sebelum ini muncul juara sebanyak sembilan kali Liga Arab Saudi berharap kehadiran Ronaldo dapat membantu mereka menguasai saingan domestik selain memburu impian untuk merangkul kejuaraan pada saingan Liga Juara-Juara Asia.
Bagaimanapun, Ronaldo terlepas dua perlawanan awal bersama kelab baharunya itu ekoran digantung dua perlawanan kerana tindakannya memecahkan telefon seorang peminat ketika United menentang Everton pada April lalu.
Ronaldo sebelum ini kehilangan kontraknya di Old Trafford apabila United membuat keputusan memecatnya ekoran temubual kontroversi bersama Piers Morgan. – KOSMO! ONLINE