SAO PAULO – Selepas kematian Diego Maradona dua tahun lalu, dunia bola sepak sekali lagi kehilangan sebutir permata selepas legenda Brazil, Pele menghembuskan nafas terakhir pada usia 82 tahun kelmarin.
Kematian pemenang Piala Dunia tiga kali itu disahkan sendiri anak perempuannya, Kelly Nascimento selepas hospital memaklumkan beberapa organ dalaman tidak berfungsi akibat kanser kolon yang dialaminya.
Berita sedih itu turut dikongsi pemain-pemain seluruh dunia termasuk kapten Portugal, Cristiano Ronaldo yang memberikan penghargaan kepada pemilik nama sebenar Edson Arantes do Nascimento tersebut.
“Takziah diucapkan kepada seluruh rakyat Brazil, terutamanya keluarga Edson Arantes do Nascimento (Pele). Ucapan selamat tinggal kepada ‘King Pele’ pastinya tidak cukup untuk membendung kesedihan dunia bola sepak.
“Beliau sentiasa menjadi inspirasi kepada berjuta orang di seluruh dunia sama ada semalam, hari ini dan selama-lamanya. Saya tidak akan lupakan setiap detik yang dikongsi bersama,” kata Ronaldo.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino berkata, setiap detik manis yang dilalui Pele termasuk membantu Brazil memenangi tiga Piala Dunia pasti akan dikenang buat selamanya.
“Setiap orang yang mencintai bola sepak, sudah tentu tidak mahu hari seperti ini tiba iaitu kita kehilangan Pele. Raja (Pele) sangat unik dan merupakan satu-satunya pemain memenangi tiga Piala Dunia.
“Saya tidak akan lupakan aksi helah yang ditampilkan pada separuh akhir Piala Dunia 1970 serta gol voli di perlawanan akhir Piala Dunia 1958,” ujarnya.
Untuk rekod, Pele menjaringkan 643 gol dalam 659 penampilan bersama Santos selain berkongsi status penjaring terbanyak sepanjang zaman buat Brazil bersama Neymar dengan 77 gol.
Lebih menakjubkan, beliau merupakan satu-satunya pemain dalam sejarah bola sepak dunia yang memenangi tiga trofi Piala Dunia ketika membantu Brazil muncul juara pada edisi 1958, 1962 dan 1970. – AGENSI