fbpx

Berhenti eksploitasi isu penyakit mental

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
ZURAINI MOHD KHALID
WARTAWAN EKSEKUTIF

ISU kesihatan mental seme­mangnya cukup banyak dibahaskan kini, memandangkan orang ramai sudah mulai sedar mengenai kepentingan memelihara kesihatan mental dan juga fizikal dalam menjalani kehidupan yang sejahtera.

Jika dilihat, media sosial kini cukup banyak memaparkan perkongsian video yang menjelaskan jenis-jenis masalah mental dan bagaimana mahu mengesannya.

Namun, video yang dimuat naik atas tujuan memupuk ke­sedaran itu ada kalanya diambil sepenuhnya tanpa ditapis isi kandungan menyebabkan ramai yang mungkin mula was-was terhadap status kesihatan mereka dan mula mendiagnos diri sendiri menghidap penyakit mental.

Hakikatnya, penyakit mental hanya boleh didiagnos oleh doktor melalui penilaian melibatkan beberapa faktor seperti gejala yang berlaku dengan ke­tara sehingga mengganggu fungsi kehidupan, sejarah penyakit, pemeriksaan fizikal dan juga pemeriksaan status mental.

Menurut Pakar Psikiatri dan Pensyarah Universiti Islam Anta­rabangsa Malaysia Kampus Kuan­tan, Dr. Rozanizam Zakaria, pencemaran info kesihatan mental di media sosial ini mewujudkan ramai ‘penunggang penyakit mental’.

“Sebagai contoh, sebuah video berdurasi 10 saat menunjukkan seseorang yang sedang menggo­yang-goyangkan kakinya.

“Individu itu kemudiannya dilabel mempunyai masalah Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) atau gejala hiperaktif.

“Ia seterusnya menyebabkan penonton video itu yang mungkin mempunyai tabiat suka menggoyangkan kaki terpedaya, lalu menganggap dirinya atau mula mendiagnosis diri sebagai penghidap ADHD,” jelasnya.

Rozanizam menambah, pen­cemaran maklumat itu juga boleh menyebabkan orang ramai memandang serong terhadap orang yang betul-betul menghidap masalah mental.

“Pada saya, tindakan berkongsi atau menyebarkan maklumat berkenaan penyakit mental ini sesuatu yang bagus.

“Namun, sebelum berbuat demikian, kita perlu membuat sa­ringan atau tapisan dengan hanya memilih maklumat sahih.

“Jika tidak, kesedaran yang dibuat untuk menghapus stigma itu tadi sebaliknya bertukar menjadi stigma 2.0,” ujarnya.

Lambakan video yang kurang tepat di media sosial merupakan sesuatu yang tidak boleh diben­dung lagi.

Oleh itu, sebagai pengguna media sosial, kita sendiri seharusnya bijak menilai sesuatu maklumat kerana bukan semua yang dipaparkan di media sosial itu tepat, lebih-lebih lagi membabitkan sesuatu yang kompleks seperti tahap kesihatan seseorang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI