GOMBAK – Hilang kawalan dipercayai punca sebuah bas ekspres yang membawa 31 penumpang termasuk pemandu terbabas lalu terbalik ke kiri dalam kejadian di kilometer 433, Lebuh Raya Utara Selatan, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, kemalangan berhubung bas ekspres tersebut diterima pihaknya sekitar pukul 1.40 pagi.
“Hasil siasatan kami mendapati bas yang dipandu lelaki tempatan berusia 45 tahun itu membawa 30 penumpang dan dalam perjalanan dari Pulau Pinang menuju ke Terminal Bersepadu Selatan(TBS), Kuala Lumpur.
“Setibanya di lokasi kejadian, bas yang dipandu dilorong paling kiri secara tiba-tiba telah hilang kawalan lalu terbabas ke longkang di sebelah kiri jalan dan seterusnya terbalik ke kiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Zainal, akibat daripada kemalangan tersebut, dua penumpang telah dibawa ambulan ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan di Zon Hijau.
“Seorang wanita warga Thailand berusia 64 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan warga Indonesia berusia 10 tahun dirawat di Hospital Sungai Buloh kerana mengalami kecederaan ringan.
“Tiada sebarang kecederaan parah direkodkan dan penumpang yang lain telah dibawa ke TBS menaiki bas dari syarikat yang sama sejurus dipastikan semua dalam keadaan sihat tanpa sebarang kecederaan,” katanya.
Pagi tadi, Kosmo! melaporkan , 30 penumpang bas ekspres berdepan detik cemas selepas kenderaan mereka terbabas lalu terbalik berhampiran Plaza Tol Rawang arah selatan, Rawang, di sini, awal pagi tadi.
Kejadian tersebut turut mengakibatkan penumpang seorang wanita warga emas Thailand berusia 65 tahun cedera di kepala dan seorang kanak-kanak perempuan warga Indonesia cedera bahagian kaki kanan.
Bas tersebut membawa 16 lelaki, 12 wanita dan dua kanak-kanak perempuan ketika kejadian berlaku – KOSMO! ONLINE