PUTRAJAYA – Konsep anjakan paradigma perlu diberi nafas baru dan memastikan bahawa ia memberi manfaat kepada rakyat dan bukannya mengkayakan segelintir pihak sahaja.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, konsep itu sudah lama diamalkan di negara ini namun, ia dilihat tidak seimbang dan mengenepikan rakyat.
Beliau berkata, tiada guna membangunkan projek dan pembangunan mega namun, pada masa sama tidak melihat nasib rakyat di luar sana.
“Adakah kita mahu izinkan projek mega tapi pada masa tidak melihat nasib rakyat di luar sana.
“Kita bangunkan negara dengan projek dan industri tapi jangan pada masa sama kita beri upah rendah kepada pekerja dan tidak setimpal,” katanya ketika berucap pada Program Munajat Tahun Baharu 2023 di Masjid Putra, di sini malam ini.
Katanya, kerajaan mahu memastikan peluang pekerjaan yang ditawarkan kepada rakyat dilihat tidak lagi merendahkan martabat dan nilai akhlak sebaliknya dilakukan secara serasi.
Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau syukur kerana Kerajaan Perpaduan hari ini dapat menjamin suasana politik stabil berbanding sebelum ini yang bergelut dengan simpang siur yang tiada kesudahan.
Menurutnya, pusat tumpuan Kerajaan Perpaduan kini adalah meningkatkan segala usaha termasuk keyakinan rakyat terhadap kerajaan.
“Tentunya awal tahun depan kita sudah dapat senarai pelabur dari pelbagai negara dan mereka akan hadir sendiri lihat perkembangan di Malaysia supaya ada pertumbuhan baharu untuk majukan negara,” katanya.
Sementara itu, katanya, beliau juga mahu institusi masjid diimarahkan dan diperhebatkan serta tidak dijadikan gelanggang untuk adu domba dan menyebarkan kebencian.
“Islam di negara ini kekal tegak sebagai agama Persekutuan dan ia bukan sahaja mesej untuk umat Islam sahaja sebaliknya untuk orang bukan Islam dimana kita mahu kefahaman itu dapat mengurangkan bibit Islamofobia,” katanya.
Terdahulu, Anwar bersama 2,000 jemaah hadir pada Program Munajat Tahun Baharu 2022 di Masjid Putra, di sini. – KOSMO! ONLINE