fbpx

[VIDEO] Dua bot TLDM berlanggar ketika demonstrasi HTA22

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar bot tempur melanggar KD Laksamana Tan Pusmah ketika melakukan demonstrasi sempena HTA22 di Pangkalan TLDM Lumut semalam.

LUMUT – Dua buah kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berlanggar ketika melakukan demonstrasi pada Hari Terbuka Armada 2022 (HTA22) di Pangkalan TLDM Lumut, petang semalam.

Menurut kenyataan Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat TLDM di sini hari ini, kejadian berlaku ketika anggota melakukan demonstrasi ‘manuvra’ bagi memintas bot mencurigakan di Jeti Operasi di pangkalan tersebut.

“Dalam demonstrasi itu, sebuah bot tempur telah hilang kawalan dan terlanggar Kapal Diraja (KD) Laksamana Tan Pusmah yang berada di lokasi demonstrasi itu dilakukan.

“Insiden tersebut telah mengakibatkan badan kapal KD Laksamana Tan Pusmah terkoyak sepanjang 2 x 1 meter manakala bot tempur kemek di bahagian haluannya,” ujar kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, kejadian itu tidak menyebabkan sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan.

Jelasnya lagi, ia juga tidak menjejaskan perjalanan HTA22 dan akan diteruskan seperti biasa mengikut atur cara yang telah ditetapkan.

Kenyataan itu memaklumkan lembaga siasatan TLDM telah ditubuhkan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Semalam, tular video menunjukkan insiden pelanggaran itu ketika demonstrasi dilakukan yang melibatkan sebuah bot tempur dan sebuah helikopter mengejar sebuah ‘bot mencurigakan’ di kawasan jeti tersebut.

HTA22 diadakan selama tiga hari bermula semalam yang memberi peluang orang ramai masuk ke dalam Pangkalan TLDM Lumut untuk menyaksikan pelbagai acara dan pameran yang disediakan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI