JAKARTA – Sebuah klip video tular di media sosial Indonesia memaparkan tiga gadis di daerah Grobogan, Jawa tengah terjatuh ke dalam longkang ketika membonceng sebuah motosikal baharu, lapor laman berita Detik.
Lebih mengejutkan apabila badan ketiga-tiga gadis itu bertukar hitam legam akibat terkena air kumbahan di dalam longkang.
“Kami periksa benar mereka penduduk Grobogan. Kami tidak ambil tindakan kerana ia masih jalan kampung atau jalan kecil,” kata Ketua Polis Grobogan, AKP Deni Eko Prasetyo.
Menurut Deni, tiga gadis itu menunggang motosikal tersebut bersama-sama sebelum terjatuh ke dalam longkang.
“Sebab mereka tidak tahu motor itu berat dan semakin berat apabila dinaiki bertiga.
“Akibat hilang keseimbangan, mereka terhuyung-hayang dan terjatuh,” katanya.
Kejadian tiga gadis terjatuh di dalam longkang itu turut menjadi topik perbualan segelintir penduduk di Pasar Gubug. Perkara itu disampaikan oleh Anna, 56, yang merupakan seorang penjual beras di Kampung Gubug.
Bagaimanapun, sukar untuk penduduk kampung mengenal pasti identiti tiga gadis itu menerusi video yang tersebar di media sosial kerana mereka dilihat berlumuran lumpur hitam. – Agensi