TAHUN 2022 telah menyaksikan beberapa nama besar golongan selebriti terkait dengan isu kontroversi sehingga diheret ke mahkamah dan berdepan perbicaraan atas kelakuan menyalahi undang-undang.
Ada antara kes membabitkan golongan artis yang diheret ke mahkamah itu telah pun menjalani proses hukuman dan dianggap selesai.
Namun, terdapat juga beberapa kes lain masih lagi berjalan dan berlarutan sehingga ke tahun hadapan.
Bukan sesuatu yang asing, setiap tahun, industri seni hiburan tanah air sememangnya tidak pernah sunyi daripada ‘digegarkan’ dengan isu membabitkan artis dan mahkamah.
Berikut merupakan rangkuman beberapa selebriti paling ‘panas’ 2022 yang berdepan perbicaraan di mahkamah.
Drama mahkamah artis, satu negara kecoh babak ‘panas’ Zul Ariffin
TINDAKAN Zul Ariffin memuat naik klip adegan panas drama bersiri Perempuan Itu akhirnya memakan diri apabila didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Sepang pada 4 Oktober lalu.
Pembayaran denda tersebut adalah atas kesalahan memulakan penghantaran komunikasi iaitu video yang bersifat sumbang pada 26 Mac lalu.
Zul didenda selepas mengaku bersalah selain berasa kesal dengan tindakan memuat naik video berkenaan dan insiden itu secara langsung memberi kesan mental kepada diri anak guam serta keluarganya.
Babak yang dikongsi dalam Instagram tersebut memaparkan dia mendukung pelakon baharu, Siti Hariesa dan menyuap krim putar dalam keadaan ghairah sehingga dikecam teruk oleh netizen.
Amelia dan A. Aida ‘potong kek’
HANYA disebabkan konflik perjanjian drama Sekali Lagi Cinta Kembali (SLCK) hubungan antara pelakon jelita, Amelia Henderson dengan penerbit drama sensasi, Datuk A. Aida keruh dan memburuk.
Amelia bersama pelakon Idris Khan berdepan tindakan saman daripada A. Aida kerana didakwa melanggar kontrak perjanjian drama terbabit yang telah ditandatangani sebelum ini.
Aida dan Idris Khan bersetuju menyelesaikan secara baik di luar mahkamah, manakala Amelia memilih untuk meneruskan kes berkenaan kerana sakit hati dengan pendakwaan A. Aida. Dia juga yakin dirinya berada di pihak yang benar dalam kes saman berkenaan.
Yasin Sulaiman terlepas hukuman gantung sampai mati
PENYANYI nasyid Yasin Sulaiman mengejutkan industri selepas ditahan polis pada 24 Mac 2022 bersama 17 pokok ganja yang ditanam di dalam pasu di kediamannya.
Penyanyi juga komposer berusia 47 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dakwaan mengedar dadah berbahaya jenis ganja seberat 214 gram yang boleh dijatuhi hukuman gantung sampai mati jika disabitkan bersalah.
Takdir memihak kepada Yasin apabila pada 6 Julai 2022, Mahkamah Majistret Petaling Jaya membebaskan dirinya daripada hukuman gantung sampai mati. Pertuduhan mengedar ke atasnya ditarik dan dia dibicarakan atas pertuduhan memiliki dadah.
Mahkamah menetapkan 15 hari bermula Mac 2023 bagi perbicaraan tiga pertuduhan dadah yang dihadapi Yasin.