fbpx

Rezeki jual sate tepi pintu air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMMAD HANIF menjual sate pandu lalu ketika ditemui di Pintu Kawalan Air Pasang Surut, Klebang baru-baru ini.

MELAKA – Seorang lelaki sanggup berpanas dan berdiri selama tujuh jam di tepi jalan semata-mata mahu menjual sate siap dibakar menerusi konsep pandu lalu berhampiran Pintu Kawalan Air Pasang Surut, Klebang di sini.

Muhammad Hanif Nordin, 34, dari Bukit Baru berkata, dia hanya mendapat upah RM4 bagi setiap bungkus yang mengan­dungi 25 cucuk sate, namun ia mencukupi baginya.

Katanya, dia tabah dengan pekerjaan itu dan mengharapkan ada pelanggan singgah untuk membeli sate tersebut walaupun tugas itu amat memenatkan.

“Saya jual 30 bungkus sate bermula pukul 4 petang dan kalau habis dapatlah upah RM120. Kadang-kadang sekadar terjual 15 bungkus sahaja.

“Setiap bungkus ada 15 sate ayam dan 10 daging termasuk kuah kacang, timun dan dua nasi impit yang dijual pada harga RM30,” katanya yang masih bujang.

Anak kelahiran Muar, Johor itu berkata, ada masanya dia terpaksa berhujan, namun me­nganggap ia sebagai cabaran.

Menurut Muhammad Hanif, dia mula menjual sate selepas kehilangan kerja sebagai perun­ding perniagaan ketika pandemik Covid-19.

“Selepas hilang kerja, saya jual sate dan bertahan sehingga sekarang walaupun perlu be­kerja keras memanggil pelanggan di tepi jalan. Hasil jualan boleh bayar sewa rumah, kereta dan hantar pada orang tua di Muar,” katanya yang berhasrat mempunyai perniagaan sendiri. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI