PETALING JAYA – Ivan Beerkus, salah seorang daripada pasangan Russia yang menceroboh dan memanjat puncak pencakar langit Menara Merdeka 118, akui ia merupakan pendakian yang paling sukar dalam hidupnya.
Di dalam Insta Storynya, dia memuat naik beberapa gambar bagi menjawab pertanyaan orang awam tentang bagaimana dia boleh memanjat bangunan itu tanpa dikesan oleh pihak berkuasa.
“Semasa mendaki di tingkat 118 kami rasa seperti kaki kami ‘hilang’. Terdapat kes sebelum ini beberapa orang pernah ditangkap. Tiada siapa yang boleh pergi ke sana tanpa dikesan.
“Keselamatan bangunan benar-benar berfungsi dengan baik. Kami memerlukan banyak masa untuk naik dan turun tanpa tertangkap. Ia adalah pendakian yang paling sukar dalam hidup saya.
“Buat masa sekarang saya tidak boleh cerita keseluruhan bagaimana saya boleh sampai ke puncak ini, tetapi masanya akan tiba nanti,” tulisnya.
Sementara itu, pasangannya Angela Nikolau turut memuat naik video di Insta Story sambil menjelaskan tiada satu pun kunci keselamatan dirosakkan untuk sampai ke puncak tersebut.
Walau bagaimanapun, Angela juga sama seperti Ivan, tidak dapat memberi penjelasan penuh tentang bagaimana dia boleh sampai ke menara puncak bangunan kedua tertinggi di dunia itu, buat masa sekarang.
Aksi Ivan dan Angela di puncak Menara Merdeka 118 yang tular di media sosial sejak kelmarin, menerima kecaman daripada rakyat Malaysia kerana berani menceroboh bangunan tersebut yang masih dalam proses pembinaan.
Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman juga berkata, pasangan berkenaan akan dipanggil untuk dirakam keterangan dalam masa terdekat. – KOSMO! ONLINE