fbpx

Mahkamah: Suami isteri mengaku tidak salah aniaya anak hingga cedera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menganiaya sehingga menyebabkan kecederaan terhadap anak lelaki mereka berusia lapan tahun minggu lalu.

Tertuduh Abu Bakar Rahman, 32, dan isterinya Andia Rosa, 35, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi.

Mengikut pertuduhan kedua-duanya didakwa sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak lelaki mereka yang berusia lapan tahun lima bulan telah dengan sengaja menganiaya kanak-kanak itu sehingga menyebabkan kecederaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Segambut Tengah di sini pada 23 Disember lalu mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Pertuduhan bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Ngoh Jess Lynn menawarkan jaminan RM20,000 terhadap tertuduh Abu Bakar.

Sementara bagi tertuduh Andia pendakwaan tidak menawarkan jaminan memandangkan tertuduh merupakan warga asing (warga Indonesia).

Bagaimanapun kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon diberikan ikat jamin rendah.

“Saya mempunyai lima tanggungan termasuk menyara ibu saya yang merupakan ibu tunggal,” kata Abu Bakar.

Mahkamah kemudian membenarkan Abu Bakar diikat jamin RM10,000 manakala Andia tidak dibenarkan diikat jamin.

Tarikh 16 Januari depan ditetapkan sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI