fbpx

Mahkamah: Bekas kerani didakwa beri pinjaman RM158,120 tanpa lesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Chee Siang (tengah) diiringi anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang bekas kerani mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menjalankan perniagaan pemberi pinjaman wang tanpa lesen kepada seorang lelaki melibatkan jumlah pinjaman RM158,120.

Tertuduh Yap Chee Siang, 25, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim M. Bakri Abd. Majid.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menjalankan perniagaan pemberi pinjaman beserta faedah tanpa lesen yang sah kepada seorang lelaki berusia 34 tahun melibatkan wang RM158,120.

Kesalahan itu didakwa dilakukan perbuatan itu antara 1 April 2021 dan 19 September lalu di Bandar Baru Sentul di sini.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang memperuntukkan denda maksimum RM1 juta atau dipenjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hanis Anisha Jamilludin menawarkan jaminan RM50,000 selain turut memohon pasport tertuduh ditahan.

Bagaimanapun, peguam Abdul Rahman Zainal Abidin memohon jumlah ikat jamin itu dikurangkan kerana anak guamnya hanya mampu menyediakan wang sekitar RM8,000 sahaja dan bersedia melapor diri di balai polis berhampiran sebagai syarat tambahan.

“Tertuduh hanya bekerja sebagai kerani dengan gaji RM2,500 dan perlu menanggung tiga adiknya yang mana dua daripadanya masih bersekolah, bapa dan nenek yang sudah tua,” kata peguam itu.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, mahkamah membenarkan Chee Siang diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin manakala pasport diserahkan sebagai syarat jaminan.

Tarikh 7 Februari depan ditetapkan sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI